HomeUtamaTamu Mingguan Pekan Beluran pacu ekonomi tempatan

Tamu Mingguan Pekan Beluran pacu ekonomi tempatan

Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh J Evachel John

BELURAN: Tamu Mingguan Pekan Beluran terus menjadi pemangkin ekonomi tempatan, menghimpunkan pelbagai peniaga kecil serta pengunjung dari kawasan sekitar.

Beroperasi setiap Ahad dari jam 6 pagi hingga 2 petang, tapak tamu yang luas dengan gerai tersusun rapi membolehkan pengunjung bergerak dengan mudah serta membuat pilihan tanpa kesesakan.

Tinjauan Sabah Media di tapak tamu mendapati pengunjung berpeluang memilih pelbagai produk tempatan termasuk hasil pertanian, hasil laut seperti ikan dan udang, pelbagai juadah makanan dan minuman, serta pakaian bundle, menjadikan tamu ini platform penting untuk penduduk membeli-belah dengan mudah dan selesa.

Suasana Tamu Mingguan Pekan Beluran

Pengunjung tidak dibenarkan memasuki atau meletakkan kenderaan di dalam kawasan tapak semasa tamu berlangsung. Kebanyakan orang ramai dilihat meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran sebelum berjalan kaki ke kawasan tamu.

Bagi peniaga pula, tempoh penghantaran barangan jualan ditetapkan antara jam 6 pagi hingga 7.30 pagi sahaja.

Seorang pengunjung, John Johnlis, menyuarakan harapan agar tempat letak kereta yang sesuai dapat disediakan bagi kemudahan awam.

“Bagi saya, tempat ini sudah selesa cuma susah cari parking. Jadi mungkin penambahbaikan dari segi tempat letak kereta perlu untuk keselesaan pengguna.

“Soal harga, semuanya masih mampu milik dan bersesuaian,” katanya.

Papan tanda “I Love Beluran” di hadapan tapak tamu turut menjadi lokasi popular bagi pengunjung merakam gambar.

Tamu Mingguan Pekan Beluran dilihat bukan sahaja berfungsi sebagai pusat jualan, malah turut menjadi ruang interaksi sosial yang mengeratkan hubungan komuniti serta memberi peluang kepada peniaga kecil meningkatkan pendapatan mereka.

RELATED ARTICLES
Utama

Program ‘Native Sabahan Beadswork’ perkasa warisan kraf tradisional Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular