KOTA KINABALU : Situasi banjir di Sabah semakin buruk apabila seramai 1,399 orang dipindahkan ke lapan buah pusat pemindahan di tiga buah daerah di negeri ini setakat jam 8 pagi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu adalah melibatkan 488 buah keluarga.
Antara daerah dilaporkan terjejas adalah di Beaufort; Kota Belud dan Tenom.
Daerah Beaufort mencatatkan jumlah mangsa terjejas yang tertinggi apabila seramai 587 orang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 196 keluarga.
PPS yang dibuka di daerah itu adalah di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon dan PPS Dewan Residensi PR1MA Woodford Estate.
Manakala Tenom merekodkan jumlah mangsa kedua tertinggi iaitu seramai 535 orang melibatkan 198 keluarga.
Sebanyak empat buah PPS dibuka di daerah itu antaranya Dewan Terbuka Labut 2; Rumah Kebudayaan Kg Ponontomon; Rumah Kebudayaan Kg Pantungon Saga dan Rumah Kebudayaan Kg Mandalom Lama.
Sementara itu di Kota Belud, seramai 277 mangsa melibatkan 94 keluarga masih berlindung di dua PPS iaitu Dewan Kampung Lentigi dan Dewan Masyarakat Tun Said.
Jumlah mangsa terjejas banjir dijangka meningkat berikutan cuaca hujan berterusan masih berlaku di beberapa kawasan di Sabah. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH



