KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan tindakan pengosongan dan perobohan struktur tanpa kelulusan di kawasan Sembulan bermula bulan ini, hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusan pihak berkuasa tempatan.
Tindakan itu melibatkan struktur yang dibina tanpa kelulusan, usang, tidak selamat serta telah luput tempoh pajakan.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kawasan terlibat dikenal pasti melanggar undang-undang kecil, berada dalam keadaan tidak teratur serta berisiko terhadap keselamatan dan kesihatan awam, termasuk dikategorikan antara kawasan penularan wabak denggi tertinggi di Kota Kinabalu.
“Tindakan ini diambil susulan pemeriksaan dan pemantauan berterusan oleh pihak DBKK yang mendapati wujud penempatan dan struktur tanpa kelulusan, melanggar undang-undang kecil serta berada dalam keadaan tidak selamat, kotor dan tidak teratur.
“Kawasan terlibat juga dikenal pasti sebagai antara kawasan dengan kadar penularan wabak denggi tertinggi di daerah Kota Kinabalu, sekali gus menimbulkan risiko kepada kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada Projek Pembaharuan Bandar yang bertujuan meningkatkan kualiti persekitaran bandar, keselamatan serta kesejahteraan penduduk ke arah pembangunan Sembulan yang lebih moden, teratur, bersih dan berdaya huni.
Sebagai langkah awal, DBKK melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan bancian penduduk dan struktur pada 8 hingga 12 Disember 2025, diikuti bancian pengesahan status kelulusan bangunan, tahap keselamatan, kebersihan serta risiko persekitaran.
Hasil bancian dan pemeriksaan teknikal mendapati terdapat struktur sementara dan kekal yang dibina tanpa mematuhi piawaian keselamatan, perancangan dan kebersihan yang ditetapkan.
Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan imej bandar raya, malah meningkatkan risiko keselamatan, kebakaran, pencemaran alam sekitar serta menjejaskan perancangan pembangunan yang sah.

Bancian turut merekodkan seramai 159 ketua isi rumah bukan warganegara menyewa di kawasan berkenaan, yang majoritinya terdiri daripada pemegang dokumen perjalanan tidak sah.
Selain itu, DBKK turut menerima rungutan daripada penduduk Kampung Sembulan berkaitan isu keselamatan dan kebersihan di kawasan berkenaan.
Notis pengosongan, perobohan dan pengalihan telah dikeluarkan kepada pihak terlibat pada 18 hingga 22 Disember 2025 sebagai pemakluman awal, dengan tempoh munasabah diberikan bagi pengosongan secara sukarela serta perobohan sendiri struktur tanpa kelulusan. Pendekatan perbincangan dan nasihat turut dilaksanakan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Ordinan Kerajaan Tempatan 1961, Undang-Undang Kecil Bangunan DBKK, Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Penjaja DBKK serta Undang-Undang Kecil Kebersihan dan Anti-Sampah Sarap DBKK,” tambah kenyataan itu.
DBKK menegaskan bahawa kegagalan mematuhi notis yang telah dikeluarkan, termasuk usaha menduduki semula kawasan atau mendirikan struktur baharu tanpa kelulusan, akan menyebabkan tindakan tegas diambil termasuk kompaun, pendakwaan, sitaan dan perobohan serta-merta tanpa notis lanjut.
Pelaksanaan operasi ini akan dijalankan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri Sabah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
DBKK menyeru semua pihak yang terlibat agar memberikan kerjasama penuh demi kelancaran pelaksanaan tindakan ini serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Jabatan Penguatkuasaan, DBKK melalui talian 088-521800 atau laman rasmi DBKK.



