KOTA KINABALU: Dua peniaga dikenakan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berasingan menjual produk kesihatan tidak berdafatar dan kosmetik yang tidak bernotifikasi.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurfaranah Jouhari dan Rasulah Lensu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap kesalahan masing-masing.
Nurfaranah didenda keseluruhan RM4,800 bagi tiga pertuduhan iaitu menjual dua kotak produk kecantikan tidak berdaftar, memiliki 12 produk tidak berdaftar dan memiliki tiga produk kosmetik tanpa notifikasi.
Sekiranya gagal membayar denda, beliau akan menghadapi penjara keseluruhan 35 hari.
Kesalahan dilakukan di sebuah premis di Papar pada 4 Julai 2024.
Manakala Rasulah didenda RM800 atau tujuh hari penjara, bagi pertuduhan pertama menjual satu kotak produk tidak berdaftar. Bagi pertuduhan kedua iaitu menjual satu produk kosmetik tidak bernotifikasi, Rasulah didenda RM2,000 atau 14 hari. Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis lain di Papar pada 4 Julai 2024.
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam semasa prosiding.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh telah menjual dan memiliki produk tidak berdaftar dan bukan kosmetik bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.
Keluaran yang bukan keluaran berdaftar dan kosmetik bukan kosmetik bernotifikasi tersebut tidak diuji dan dinilai oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, dimana kualiti, keberkesanan dan keselamatan keluaran tersebut adalah diragui.
Justeru, pihak pendakwaan menegaskan penggunaan keluaran dan kosmetik yang dimaksudkan ini boleh mendatangkan risiko kesan sampingan kepada orang awam.



