Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Ibu bapa di negeri ini dinasihatkan agar sentiasa memantau dan mengambil berat terhadap keselamatan anak-anak susulan situasi banjir yang melanda di beberapa buah daerah di Sabah sejak beberapa hari lalu.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu serta paras air yang meningkat di beberapa kawasan dilihat berpotensi mengancam keselamatan, khususnya kanak-kanak dan pelajar sekolah.
Katanya, ibu bapa turut diseru supaya memastikan anak-anak tidak berada di kawasan berisiko seperti sungai, longkang besar dan kawasan rendah yang mudah dinaiki air, khususnya ketika air pasang.
“Kalau kita lihat keadaan cuaca di seluruh negara, khususnya di negeri sabah, beberapa hari ini kita lihat keadaan banjir di beberapa daerah, ini sangat membimbangkan.
“Jadi nasihat kepada pelajar-pelajar supaya berhati-hati, jaga diri dan jangan berada di tempat-tempat yang boleh membahayakan, khususnya bila air pasang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media di sini pada Selasa.
Menurutnya, langkah berjaga-jaga itu penting memandangkan sesi persekolahan dijangka bermula pada minggu hadapan.
“Ibu bapa juga digalakkan untuk sentiasa memberi peringatan kepada anak-anak agar lebih berhati-hati serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya. – SABAH MEDIA



