HomeUtamaInfrastruktur sistem pengairan lama bakal ditambah baik – Jamawi

Infrastruktur sistem pengairan lama bakal ditambah baik – Jamawi

Read Time:1 Minute, 42 Second

TUARAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar mahu infrastruktur sistem pengairan lama di beberapa kawasan di Sabah ditambah baik bagi menyokong komuniti pertanian.

Beliau berkata, usaha ini penting untuk memastikan tanah pertanian dapat diusahakan dengan selamat dan berkesan.

“Saya telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa tahun ini atau tahun hadapan kita perlu mencari bajet untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Jamawi menambah, usaha ini akan diteruskan walaupun perlu dibawa ke peringkat lebih tinggi, termasuk pertemuan dengan Ketua Menteri atau kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan.

“Kita bersimpati dengan nasib para petani kerana setiap kali berlaku banjir, tanaman mereka terjejas, terutama di kampung-kampung yang tiada sistem pengairan yang baik. Walaupun langkah-langkah tebatan banjir seperti gabion dibina, masih ada kampung yang tiada gabion,” katanya.

Beliau menekankan penggunaan kemahiran, kepakaran dan sumber secara lebih berkesan untuk menangani isu ini.

“Penduduk hanya mahu jaminan bahawa sumber makanan mereka tidak terjejas sepanjang tahun kerana pertanian adalah kehidupan para petani,” tambahnya.

Jamawi berkata, pihak kementerian komited membantu petani agar setiap projek memberi manfaat nyata kepada masyarakat.

Beliau menyampaikan perkara itu ketika merasmikan Persidangan Pegawai Kanan JPS Sabah 2026 di Shangri-La Rasa Ria, yang berlangsung dari 5 hingga 8 Januari dan dihadiri oleh 120 pegawai kanan, termasuk jurutera dan penolong jurutera dari ibu pejabat dan pejabat JPS daerah seluruh Sabah.

Persidangan tahunan ini menjadi platform menilai pencapaian tahun lalu, menganalisis kekurangan, menangani isu utama serta merancang program pembangunan, perjawatan, perkhidmatan dan integriti jabatan.

“Perancangan rapi adalah elemen penting dalam semua aspek pengurusan. Ia memastikan sesuatu perkara dapat dilaksanakan dengan lancar dan objektif tercapai. JPS, sebagai jabatan di bawah MAFFI yang menerima peruntukan pembangunan besar, mesti melaksanakan semua program dengan perancangan teliti,” katanya.

Beliau menegaskan tradisi JPS mengadakan persidangan pegawai kanan di awal tahun selaras dengan amalan pengurusan yang baik, bagi memastikan program pembangunan negeri dapat dilaksanakan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengarah JPS Sabah, Ir. Siraja Bashora.

RELATED ARTICLES
Utama

PPS baharu dirancang dibina di Padas Damit Beaufort

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular