HomeUtamaMaritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 6,000 liter petrol di perairan Kudat

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 6,000 liter petrol di perairan Kudat

Read Time:1 Minute, 22 Second

KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 6,000 liter minyak petrol ke negara jiran selepas menahan sebuah bot pam di perairan Kudat, dalam operasi awal pagi pada Ahad.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi yang dilaksanakan pihaknya berjaya mengesan bot pam berkenaan hasil maklumat risikan yang diterima daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah.

Katanya, sekitar jam 1 pagi, sebuah bot pam yang bergerak perlahan dan mencurigakan telah dikesan pada jarak kira-kira 1.5 batu nautika dari Tanjung Kalutan, Balambangan sebelum aset ronda Bot Kilat 48 diarahkan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

“Ketika bot ronda menghampiri bot suspek, tiga individu yang berada di atas bot bertindak terjun ke laut cetek dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Hasbullah berkata, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan itu mendapati ia membawa 25 tong plastik berwarna biru berisi minyak petrol dengan anggaran keseluruhan kira-kira 6,000 liter.

“Muatan bahan api tersebut dipercayai dibawa tanpa permit yang sah dan disyaki untuk tujuan pasaran gelap atau diseludup ke negara jiran berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, bot pam bersama minyak petrol yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM60,000 dan telah dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran atau permit yang sah.

Dalam pada itu, Zon Maritim Kudat menyeru orang awam khususnya komuniti maritim agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kemasukan pelabur pacu pertumbuhan ekonomi, jana pekerjaan berkemahiran tinggi di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular