KOTA KINABALU: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan tiada pilihan selain mengadaptasi inovasi baharu kecerdasan buatan (AI), namun pada masa sama negara perlu menggubal akta kawalan keselamatan akses digital bagi menjamin penggunaannya secara beretika dan selamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kebimbangan utama ketika ini ialah kekurangan lebih 10,000 jurutera dan pakar AI tempatan, sedangkan teknologi itu semakin dominan dalam pelbagai sektor pembangunan negara.
Menurutnya, walaupun terdapat universiti tempatan yang telah menubuhkan fakulti khusus AI, institusi lain seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) juga boleh merentasi jurusan berkaitan AI dalam kurikulum latihan bagi melahirkan lebih ramai anak Sabah yang menguasai teknologi berkenaan.
Selain KTYS, pusat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut berpotensi memperkenalkan bidang AI sebagai modul baharu dalam struktur akademik mereka.
Mengulas lanjut, Masiung menegaskan latihan dalam bidang AI tidak seharusnya tertumpu kepada aspek teknikal semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan jati diri, sahsiah serta nilai moral.
“Bakat dan inovasi dalam kalangan anak Sabah perlu diketengahkan bagi menguasai teknologi tinggi AI demi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
“Kepakaran AI perlu dimanfaatkan seiring peredaran masa, namun nilai kemanusiaan dan moral tidak boleh diketepikan tanpa kerangka undang-undang yang jelas,” tegasnya.
Beliau berkata, teknologi AI kini mempunyai pengaruh yang semakin meluas di peringkat global seiring dengan revolusi industri serta peranannya dalam tadbir urus dan pembangunan sesebuah negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya membangunkan teknologi berasaskan AI secara menyeluruh merentasi universiti dan institusi pengajian tinggi awam.
Masiung turut berharap lebih ramai golongan muda, khususnya di Sabah, menyertai bidang kecerdasan buatan bagi menampung kekurangan pakar dan jurutera dalam teknologi pintar berkenaan.



