HomeUtamaKemasukan pelabur pacu pertumbuhan ekonomi, jana pekerjaan berkemahiran tinggi di Sabah

Kemasukan pelabur pacu pertumbuhan ekonomi, jana pekerjaan berkemahiran tinggi di Sabah

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Kemasukan pelabur ke Sabah terus menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam sektor perindustrian, sekali gus menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan industri tempatan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, berkata sehingga suku kedua tahun 2025, Sabah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM11.368 bilion, merangkumi pelaburan domestik dan asing dalam sektor Pembuatan, Perkhidmatan serta Sektor Utama.

“Daripada jumlah tersebut, sektor Pembuatan mencatat pelaburan tertinggi sebanyak RM7.472 bilion, diikuti sektor Perkhidmatan berjumlah RM3.139 bilion, manakala Sektor Utama termasuk perindustrian, pelancongan dan pertanian menyumbang RM757 juta.

“Pencapaian ini meletakkan Sabah di kedudukan kelima tertinggi penerima pelaburan di Malaysia, sekali gus mengatasi jumlah pelaburan direkodkan pada 2024 sebanyak RM6.458 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Kasim, yang juga penganalisis ekonomi, berkata kemasukan pelaburan berskala besar itu memberi kesan langsung kepada pembangunan industri sokongan, termasuk perkhidmatan logistik, pembekalan bahan mentah serta pengukuhan ekosistem industri negeri.

Menurutnya, antara pelaburan utama yang menjadi pemangkin pertumbuhan industri ialah pelaburan fasa pertama Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd dari Singapura bernilai RM6.592 bilion bagi pembinaan kilang pembuatan keluli hijau di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.

“Pembangunan industri berimpak tinggi ini bukan sahaja meningkatkan daya saing ekonomi negeri, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan melalui pewujudan peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan nilai tambah tempatan.

“Kemasukan pelabur strategik ke Sabah meletakkan negeri ini pada landasan yang lebih kukuh sebagai destinasi pelaburan perindustrian, selari dengan keperluan pembangunan jangka panjang dan aspirasi pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Kasim berkata Belanjawan Sabah 2026 berpotensi mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri melalui pendekatan yang lebih seimbang dan mampan.

Menurutnya, belanjawan berkenaan menumpukan kepada keseimbangan sosioekonomi, pemerkasaan modal insan, peningkatan infrastruktur asas serta pengukuhan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Kerajaan mencadangkan Anggaran Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion, sekali gus merekodkan lebihan belanjawan RM28 juta.

“Tumpuan belanjawan ini adalah kepada program dan aktiviti berorientasikan pembangunan jangka panjang bagi menjana pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kemudahan awam.

“Belanjawan ini diyakini mampu mendepani cabaran tahun 2026, selari dengan pengukuhan asas fiskal dan peningkatan pelaburan, didorong oleh pemulihan sektor pelancongan, pertumbuhan aktiviti perdagangan serta peningkatan guna tenaga,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Mahkamah benarkan permohonan pinda status agama dalam MyKad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular