KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan seorang bapa dan tiga anaknya dari Pitas, Kota Marudu untuk membetulkan rekod MyKad mereka supaya mencerminkan agama Kristian, selepas mendapati Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tersilap merekodkan butiran tersebut.
Dalam membenarkan permohonan Abdul Manap Bakusai @ Abu Bakar dan tiga anaknya, pada Rabu, Hakim Datuk Celestina Stuel Galid memutuskan bahawa para plaintif tidak pernah mengamalkan Islam dan telah dibaptis sebagai Kristian sejak kecil, selain disokong oleh bukti dokumen termasuk sijil pembaptisan dan surat gereja.
Mahkamah turut menyatakan bahawa tiada sebarang bukti yang menunjukkan para plaintif adalah orang Islam atau pernah mengamalkan Islam sebagai agama, kecuali catatan yang tertera pada MyKad mereka.
Mahkamah berkata, ini juga bukan satu kes di mana para plaintif pernah memeluk Islam pada bila-bila masa dalam kehidupan mereka dan kini memohon untuk keluar daripada agama tersebut.
“Pada pandangan saya, plaintif telah memenuhi beban pembuktian berdasarkan imbangan kebarangkalian (balance of probabilities) bahawa mereka bukan dan tidak pernah beragama Islam; bahawa plaintif pertama adalah seorang yang buta huruf dan bahawa maklumat dalam borang permohonan yang menyatakan agama mereka sebagai Islam telah dimasukkan secara salah oleh pegawai pihak defendan yang mengisi borang permohonan.
“Oleh itu, beban pembuktian beralih kepada defendan untuk menyangkal dakwaan mereka, tetapi saya dapati defendan gagal berbuat demikian.
“Dalam keadaan ini, saya membenarkan permohonan para plaintif tanpa perintah mengenai kos,” kata Celestina dalam penghakiman bertulisnya.
Dalam permohonan mereka, para plaintif menamakan Pengarah JPN Sabah sebagai satu-satunya defendan.
Para plaintif memohon supaya MyKad masing-masing dan rekod atau butiran mereka dengan pihak defendan dipinda bagi mencerminkan agama mereka sebagai Kristian.



