HomeUtamaProjek tebatan bantu kurangkan impak banjir di Pekan Beaufort

Projek tebatan bantu kurangkan impak banjir di Pekan Beaufort

Read Time:1 Minute, 27 Second

BEAUFORT: Projek tebatan banjir yang dilaksanakan di daerah Beaufort terbukti berkesan apabila kawasan pekan tidak lagi ditenggelami air walaupun banjir melanda beberapa kampung dan kawasan rendah di sekitarnya baru-baru ini.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, tebatan banjir fasa pertama yang siap dibina tahun lalu berjaya menghalang limpahan air Sungai Padas, sekali gus mengelakkan kejadian banjir besar di kawasan pekan yang sebelum ini sering dinaiki air setiap kali paras sungai meningkat.

Katanya, keberkesanan projek itu dapat dilihat dengan jelas apabila air banjir hanya bertahan di kawasan kampung tertentu, manakala Pekan Lama Beaufort kekal selamat dan tidak terjejas seperti kejadian banjir sebelum ini.

“Biasanya apabila banjir berlaku, kawasan Pekan Lama Beaufort antara yang paling awal dinaiki air.

“Namun kali ini, hasil pelaksanaan tebatan banjir fasa pertama, kawasan berkenaan tidak lagi ditenggelami air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan menyerahkan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir di sini pada Rabu.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kejayaan fasa pertama itu menjadi bukti bahawa usaha tebatan banjir mampu mengurangkan risiko serta impak bencana sekiranya dilaksanakan secara terancang dan menyeluruh.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan fasa kedua projek tebatan banjir di daerah itu

Namun katanya, ia tertakluk kepada peruntukan kewangan memandangkan projek berkenaan melibatkan kos yang tinggi dan tempoh pelaksanaan yang panjang.

Beliau berkata, kerajaan juga akan terus mendapatkan sokongan serta peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pembinaan tebatan banjir berskala lebih besar bagi mengurangkan kejadian banjir berulang yang menjejaskan penduduk, sektor pertanian dan ekonomi setempat.

“Keberkesanan tebatan banjir ini memberi keyakinan bahawa langkah pencegahan yang berterusan mampu melindungi keselamatan rakyat serta mengurangkan kerugian akibat banjir pada masa hadapan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Armizan Buat Laporan Polis Susulan laporan Pasukan khas Mengenai Gangguan Injap...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular