KINARUT, – Ahli Parlimen Papar, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kinarut malam semalam susulan dapatan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Menurutnya Laporan dibuat adalah untuk meminta PDRM membuat siasatan terhadap tindakan yang dilihat melibatkan unsur khianat dan sabotaj ke atas infrastruktur/utiliti awam yang telah mendatangkan kemudaratan awam.
Laporan itu dibuat selepas satu mesyuarat khas diadakan pagi semalam atas permuafakatan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, dengan JANS, agensi berkaitan dan kontraktor dua projek bekalan air di Papar, bagi meneliti punca gangguan kritikal bekalan air sejak penghujung Disember 2025.
Mesyuarat yang turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Limbahau dan Pantai Manis, itu mendengar sendiri penjelasan pasukan khas JANS yang dihantar ke lapangan, yang mendapati berlaku gangguan pada injap pintu air (sluice valve) di dua booster pump, dipercayai melibatkan alihan bekalan air keluar dari Mukim Kinarut/Kawang sehingga melepasi sempadan daerah Papar.
Menurut Armizan, gangguan itu telah menjejaskan jadual catuan air sedia ada, mengurangkan lagi sumber air terawat sebelum siapnya Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 yang dijadualkan siap pada suku keempat 2026, sekali gus menimbulkan kesulitan serius kepada penduduk.
“Tujuan laporan ini adalah untuk memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera kerana ia melibatkan unsur jenayah yang mendatangkan kemudaratan awam. Walaupun JANS telah menyatakan komitmen siasatan dalaman, saya berpandangan siasatan PDRM juga perlu berjalan serentak,” katanya dalam satu hantaran di laman rasmi facebooknya sebentar tadi.
Antara langkah segera yang diputuskan dalam mesyuarat itu termasuk melaksanakan penyambungan silang (inter-connection) dari rangkaian paip LRA Kogopon 1 (P1) terus ke Tangki Utama Kawang (P3) bagi menyalurkan bekalan air terawat secara lebih efisien tanpa melalui jaringan paip yang terlalu jauh, termasuk melewati tangki Melinsung (R22).
Kerja tersebut bermula hari ini, manakala kapasiti pemprosesan rawatan air di LRA Kogopon 1 akan ditingkatkan 10 peratus daripada 40 juta liter sehari (JLH) sebagai langkah interim, diiringi naik taraf dan penggantian tiga pam rawatan air di loji itu.
Armizan turut memaklumkan, garis masa pelaksanaan kedua-dua strategi itu disasarkan dua minggu sebelum proses pengoperasian penuh, dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah memberi komitmen turun ke lapangan bagi memantau sendiri kerja-kerja berkaitan.
Dalam pada itu, Armizan menegaskan beliau tidak akan melayan sebarang polemik politik ketika ini meskipun wujud kenyataan provokasi oleh mantan Ahli Parlimen Papar dari Parti Warisan pada 6 Januari lalu.
“Fokus saya adalah menyelesaikan isu rakyat. Ini bukan masa balas pantun politik. Rakyat mahu solusi, bukan drama,” tegasnya.
Beliau menambah, respon terhadap kenyataan tersebut akan hanya dibuat selepas bekalan air berjaya distabilkan dan kesulitan penduduk diredakan.



