Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Seramai lebih 6,000 pelari telah mengesahkan penyertaan dalam Borneo International Marathon (BIM) 2026 setakat Rabu lalu, dengan penyertaan melibatkan pelari tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Perlumbaan BIM Datuk Dr Heng Aik Cheng berkata, daripada jumlah itu, kategori 42 kilometer mencatatkan 2,566 peserta, diikuti 21 kilometer seramai 2,258 peserta, manakala 10 kilometer melibatkan 1,363 peserta.
Katanya, penyertaan peserta menunjukkan trend memberangsangkan sejak pendaftaran dibuka, selari dengan jangkaan yang menyasarkan peningkatan jumlah pelari menjelang tarikh tutup pendaftaran pada 15 Mac 2026.
“Selain penyertaan tempatan, acara berprestij ini turut menarik minat pelari antarabangsa dari 24 buah negara, sekali gus mengukuhkan status BIM sebagai antara maraton bertaraf antarabangsa di rantau ini.
” Malaysia mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi, diikuti pelari dari Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan China. Penyertaan juga melibatkan negara luar Asia termasuk United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Kanada dan Afrika Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi menandatangani perjanjian kerjasama melibatkan Kelab Larian Kinabalu dan Alliance Bank Malaysia Berhad.
Majlis itu disaksikan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Heng berkata, pihaknya menjangkakan jumlah peserta akan terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang berikutan pendaftaran masih dibuka dan promosi berterusan di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Nizam berkata, Kerajaan Negeri Sabah komited menyokong penganjuran acara sukan berskala besar demi pembangunan sukan negeri.
BIM 2026 dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2026 di Kompleks Sukan Likas, dengan pelepasan pertama seawal jam 2 pagi. – SABAH MEDIA



