HomeUtamaMaritim Sabah catat hampir RM50 juta nilai rampasan sepanjang 2025

Maritim Sabah catat hampir RM50 juta nilai rampasan sepanjang 2025

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan sebanyak 273 kes tangkapan dengan nilai rampasan dianggarkan RM48.5 juta sepanjang tahun 2025 hasil penguatkuasaan berterusan dan operasi bersepadu di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali berkata, nilai rampasan itu merangkumi pelbagai kes berprofil tinggi termasuk penyeludupan dadah, minuman keras, rokok, penahanan bot nelayan Vietnam, serta rampasan barangan di bawah Akta Kawalan Bekalan seperti minyak masak, beras dan petrol.

“Sepanjang tahun lalu, Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut melaksanakan 59,119 pemeriksaan dan 28,320 penggeledahan, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan tinggi agensi ini dalam membanteras jenayah maritim dan pelanggaran undang-undang di perairan negara,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi memperkukuh keberkesanan operasi, pihaknya melaksanakan pelbagai operasi dan latihan bersama antara agensi seperti Op Naga Sabah, Op MARDOF, selain eksesais Search and Rescue Exercise (SAREX) dan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO).

Pendekatan bersepadu ini tegas beliau, bertujuan meningkatkan koordinasi, keupayaan tindak balas serta kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan maritim.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sepanjang tahun lalu, sebanyak 23 kes telah direkodkan dengan 244 mangsa berjaya diselamatkan, melibatkan anggaran nilai harta diselamatkan berjumlah RM23.1 juta.

“Kejayaan ini menzahirkan kecekapan pasukan CARILAMAT Maritim Malaysia dalam melaksanakan operasi secara pantas dan berkesan,” tambah beliau.

Selain penguatkuasaan dan CARILAMAT, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut mencatat beberapa perkembangan penting sepanjang tahun lalu.

“Ini termasuk sebuah kapal pemberian US Coast Guard (USCG) iaitu Ex- USCG Cutter Steadfast yang ditempatkan di negeri ini, penerimaan separa siap Kompleks Zon Maritim Semporna, serta pengambilan pertama Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Pelaksanaan Program Jelajah MADANI yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menjadi antara pencapaian signifikan yang memperkukuh hubungan kerajaan dengan komuniti maritim setempat,” tegas beliau.

Mengulas lanjut pencapaian tersebut, Khairulanuar berkata, kejayaan yang direkodkan adalah hasil komitmen tinggi seluruh warga Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, disokong kerjasama erat agensi keselamatan serta penguat kuasa lain, di samping sokongan masyarakat setempat.

Tegas beliau, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan aset dan modal insan, serta mempererat kerjasama antara agensi bagi memastikan keselamatan perairan, kesejahteraan komuniti maritim dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat serta memberi sokongan dalam usaha memelihara keselamatan perairan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Keperluan PT3, UPSR dikaji semula

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular