HomeUtamaRogol, luar tabii: Lelaki dipenjara dan disebat

Rogol, luar tabii: Lelaki dipenjara dan disebat

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihukum penjara 20 tahun dan sembilan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merogol serta melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Hazmi Abdul Gaffar, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zaini Fishir.

Bagi pertuduhan pertama, Hazmi dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan kerana merogol mangsa serta menyebabkan kecederaan, dalam kejadian yang berlaku pada 22 Disember 2025, kira-kira jam 7 malam, di tepi jalan raya berdekatan sebuah bangunan, di Jalan Kepayan, dekat sini.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa menggunakan suatu objek, pada masa dan tempat yang sama.

Hazmi didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan secara serentak, justeru tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, selain sembilan sebatan.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian kira-kira jam 6 petang, pengadu yang sedang berjalan di sebuah jejantas telah didatangi oleh tertuduh. Tertuduh menegur pengadu dan menyatakan bahawa pengadu kelihatan seperti anaknya, sebelum berkongsi mengenai masalah peribadi.

Ketika pengadu cuba beredar, tertuduh telah menarik tangan pengadu dan meminta nombor telefon. Walaupun pengadu enggan, tertuduh memaksa pengadu membuat panggilan ‘miss call’ ke telefonnya.

Kira-kira jam 7 petang pada hari yang sama, tertuduh menghubungi pengadu dan menyatakan bahawa beliau belum makan sepanjang hari, lalu meminta pengadu menghantarkan makanan kepadanya. Atas rasa simpati, pengadu membungkus makanan dan berhasrat untuk menyerahkannya.

Apabila pengadu bertemu tertuduh, tertuduh telah menarik mangsa ke kawasan semak di lokasi kejadian. Mangsa cuba melawan namun tidak berjaya apabila tertuduh mencekik leher mangsa dan menumbuk rusuk kiri mangsa.

Tertuduh kemudian mengugut mangsa dengan berkata, “Saya bunuh keluarga kau kalau kau bising,” menyebabkan mangsa ketakutan dan berhenti melawan.

Selepas kejadian, tertuduh melepaskan mangsa dengan syarat mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa, sambil mengulangi ugutan yang sama.

Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian tersebut kepada seorang rakan sebelum tampil membuat laporan polis, yang membawa kepada penangkapan tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Eugenie A. Gilbert mengendalikan pendakwaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Keperluan PT3, UPSR dikaji semula

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular