KOTA KINABALU: Seorang warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 114 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana tinggal lebih masa di Sabah selama lebih 11 tahun dan memiliki 17 cop Pas Lawatan Sosial palsu.
Asdi Taban Sangkalahan, 32, mengaku bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain.
Bagi pertuduhan pertama, Asdi dijatuhi penjara 12 bulan kerana tinggal di Sabah selepas tamat tempoh Pas Lawatan Sosial, yang dikeluarkan kepadanya pada 6 November tahun lalu di bilik sewa di Jalan Gaya, Kota Kinabalu. Pas lawatannya hanya sah sehingga 20 Ogos 2014, dan tertuduh telah tinggal lebih masa selama 11 tahun, dua bulan dan 18 hari.
Asdi juga dijatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap 17 pertuduhan memiliki Pas Lawatan Sosial (cop palsu) pelbagai tarikh di pasportnya, pada masa dan tempat yang sama. Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara bagi kes ini berjalan serentak.
Kesalahan tinggal lebih masa dilakukan di bawah Seksyen 15(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Manakala 17 pertuduhan lain dibuat di bawah Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 56(1)(aa) akta yang sama, yang memperuntukkan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.
Kejadian terbongkar apabila tertuduh ditahan dalam satu siri operasi, OPS SAPU, yang dijalankan di bilik sewa tingkat 2, atas Kedai Biskut Ming Ang, Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
Dalam kes berasingan, seorang warga tempatan, Abmanisim @ Kamil Siron, 59, didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara kerana membenarkan seorang imigran haram berada di premisnya.
Kesalahan itu berlaku apabila tertuduh membenarkan seorang warga Filipina memasuki dua buah rumah kebun di Kampung Binaong, Keningau, pada 26 September 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta yang sama, yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran haram yang ditemui.
Pegawai Pendakwa Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Chin Tze Mei.



