PUTATAN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta digalakkan untuk terus menyumbang kepada masyarakat setempat melalui pelbagai inisiatif kebajikan, khususnya menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu minggu hadapan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penglibatan NGO dan sektor swasta dalam aktiviti kemasyarakatan adalah selari dengan objektif kerajaan untuk memperkukuh khidmat masyarakat serta semangat kesukarelawanan, sekali gus meningkatkan kesedaran sosial dalam membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, inisiatif sebegini secara langsung dapat meringankan beban ibu bapa yang sedikit sebanyak terkesan dengan penyediaan pembukaan musim persekolahan.
“Pihak NGO dan swasta sememangnya dialu-alukan untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan, lebih-lebih lagi ketika sesi persekolahan baharu bakal bermula pada Isnin hadapan.
“Program berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini amat murni dan seiring dengan dasar kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ‘Back To School Gunting Rambut Percuma’ di perkarangan Servay Putatan, dekat sini, hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Pejabat Parlimen P.173 Putatan dengan NGO Dinamik Teras Bakti dan Pertubuhan Lima Generasi (PLG).
Mengulas mengenai program gunting rambut percuma itu, Shahelmey merakamkan penghargaan terhadap komitmen semua pihak yang terus menyokong usaha Pejabat Parlimennya dalam membantu komuniti setempat.
“Saya dimaklumkan seramai kira-kira 100 peserta daripada kalangan penduduk sekitar Putatan menyertai program ini. Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat.
“Insya-Allah, program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa, dan seperti yang saya maklumkan tadi, penyertaan lebih ramai pihak seperti NGO serta pihak swasta amat digalakkan bagi menabur bakti kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan Parlimen Putatan,” katanya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan, Mohd Sufian Matin; Pegawai Khas Pentadbiran dan Operasi Parlimen Putatan, Mahadzir Abd Majid; serta Pengerusi NGO Dinamik Teras Bakti dan PLG Sabah, Mohammad Azmi Mohammad Sanni.




