KOTA KINABALU: Hasrat Sabah FC untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri tidak kesampaian apabila terikat 1-1 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi yang turut dipengaruhi dengan cuaca buruk.
Hujan lebat sebelum perlawanan memaksa sepak mula ditangguhkan, sekali gus menyebabkan padang berada dalam keadaan licin dan berair yang menjejaskan rentak permainan serta ketepatan hantaran kedua-dua pasukan.
Separuh masa pertama menyaksikan permainan lebih tertumpu di bahagian tengah dengan kedua-dua pasukan berhati-hati mengatur serangan.
Beberapa percubaan berjaya dilakukan, namun kawalan bola yang tidak kemas menyukarkan usaha untuk memecah kebuntuan.
KL City tampil lebih berani selepas rehat dan berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-50 menerusi jaringan Muhammad Safawi Rasid yang pantas menyambar bola lantunan di hadapan gawang.
Sabah FC tidak mudah mengalah apabila meningkatkan tekanan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66 hasil jaringan Ajdin Mujagic yang bijak memanfaatkan kesilapan kecil benteng lawan.
Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dalam perlawanan yang jelas menguji kesabaran, ketahanan fizikal dan mental pemain akibat keadaan cuaca yang mencabar. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC



