KINABATANGAN : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti calon- calon yang bertanding ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Pengerusi SPR Malaysia Datuk Seri Ramlan Datuk Harun berkata, seramai 39 orang pemerhati pilihan raya daripada sembilan organisasi telah mengambil bahagian dalam PRK Kinabatangan dan PRK DUN Lamag, bagi menentukan ketelusan pilihan raya yang diadakan.
Beliau berkata, tempoh berkempen bermula sejurus pengisytiharan calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 23 Januari 2026.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, semua calon dan parti politik diingatkan supaya mematuhi undang-undang serta peraturan kempen yang telah ditetapkan.
“Calon-calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya.
“Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding.
“Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Sementara itu, beliau turut berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang- undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Tambahnya, SPR turut menyeru agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
“Ucapan tahniah dan syabas dirakamkan oleh SPR kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar pada hari ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH



