KOTA KINABALU, — Tan Sri Anifah Aman semalam memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad selepas menerima pelantikan daripada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Pengumuman berkenaan dibuat menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Jumaat.
Dalam hantaran tersebut, Anifah menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan memaklumkan beliau telah melapor diri di Qhazanah Sabah Berhad sebagai Pengerusi.
“Saya telah diberikan taklimat ringkas oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad, Encik Rudy Jaglul, serta diperkenalkan kepada barisan pegawai kanan syarikat,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan amanah berkenaan dengan sebaik-baiknya demi kepentingan Kerajaan Negeri Sabah.
Pelantikan Anifah dijangka memperkukuh tadbir urus dan hala tuju strategik Qhazanah Sabah Berhad selaku entiti pelaburan strategik kerajaan negeri dalam menyokong agenda pembangunan negeri.



