PUTATAN: Program gunting rambut percuma sempena pembukaan sesi persekolahan dilaksanakan di beberapa lokaliti sekitar Tanjung Keramat bagi membantu persiapan asas pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa peka terhadap senario semasa, khususnya dalam melaksanakan dan menyediakan medium bagi membantu masyarakat setempat.
Menurutnya, musim pembukaan sesi persekolahan melibatkan persediaan ibu bapa dan anak-anak, justeru pihaknya melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan, walaupun secara sederhana.
Shah Alfie yang juga merupakan Setiausaha Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Tanjung Keramat menjelaskan program Back To School seperti aktiviti gunting rambut turut dilihat memberi sokongan moral kepada ibu bapa, selain menyemarakkan semangat pelajar untuk memulakan sesi persekolahan tahun ini.
“Sebagai kerajaan pentadbir negeri, kita menerusi platform parti GRS dan Gagasan Rakyat juga menyediakan khidmat sosial serta kemasyarakatan kepada komuniti setempat seperti program bergunting rambut melibatkan beberapa lokalititi sekitar Dewan Undangan Negeri Tanjung Keramat.
“Ini merupakan salah satu kepekaan dan toleransi buat parti kita dalam usaha memangkinkan khidmat kemasyarakatan yang bukannya bersifat politik semata-mata.
“GRS dan Gagasan Rakyat terutama di Tanjung Keramat ini sentiasa mahu menunjukkan teladan yang positif, di samping kita berpolitik, tanggungjawab sosial tidak diabaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke program Back To School di beberapa lokasi sekitar Tanjung Keramat, yang dianjurkan PGRS Tanjung Keramat, pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Keramat, Ir. Ummar Ariff Abu Bakar, bersama rombongan jentera GRS Tanjung Keramat.




