HomeUtamakerajaan beri insentif atlet Sabah catat prestasi cemerlang peringkat nasional, antarabangsa...

kerajaan beri insentif atlet Sabah catat prestasi cemerlang peringkat nasional, antarabangsa – Nizam

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Kerajaan Sabah akan memberikan insentif khas kepada atlet-atlet Sabah yang mencatat prestasi cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa termasuk yang berjaya mengharumkan nama negara di Sukan Sea 2025.

Menteri Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam menghargai sumbangan dan pengorbanan atlet yang berprestasi tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Memang dalam perancangan kerajaan negeri untuk memberi penghargaan kepada semua atlet yang telah mengharumkan nama Sabah dan Malaysia termasuk pencapaian mereka di Sukan Sea 2025.

“Insya-Allah, platform penghargaan ini akan direalisasikan melalui Anugerah Sukan Negeri (ASN) Sabah yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Back to School di Balai Raya Kampung Titingan di sini, semalam.

Prestasi cemerlang atlet Sabah di pentas antarabangsa terserlah apabila atlet Muay Thai negara, Angie Yan Jia Chi memenangi pingat emas acara Wai Kru wanita di Stadium Tinju Lumpinee, Thailand pada Sukan Sea tahun lalu.

Pemenang pingat emas Kejohanan Dunia Senior Bawah 23 Tahun (U23) Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) sebanyak tiga kali sejak 2023 itu mengumpul 9.33 mata untuk menundukkan juara tuan rumah, Thanawan Thongduang.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, kejayaan seperti ini menjadi bukti bahawa atlet muda Sabah mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekaligus menekankan kepentingan sokongan kerajaan negeri melalui insentif dan program pembangunan sukan.

Menurut beliau, penganjuran Anugerah Sukan Negeri Sabah bukan sahaja bertujuan memberikan insentif, malah menjadi pengiktirafan rasmi terhadap dedikasi atlet, jurulatih dan pegawai sukan yang terlibat dalam pembangunan sukan negeri.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Apas turut memaklumkan Sabah kini berada pada fasa akhir persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dengan sasaran untuk berada dalam kelompok lima negeri terbaik.

“Sebanyak 28 acara akan dipertandingkan dan atlet Sabah kini sedang menjalani latihan intensif. Walaupun Selangor selaku tuan rumah mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri, kita yakin pasukan Sabah mampu memberi saingan yang kompetitif,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha menaik taraf kemudahan sukan di seluruh Sabah turut menjadi agenda penting kementeriannya bagi memastikan persekitaran latihan yang lebih kondusif dan selesa untuk atlet.

“Kita tidak mahu lagi kemudahan sukan yang terbiar atau tidak terurus. Kompleks sukan perlu berada dalam keadaan baik supaya atlet dapat berlatih dengan lebih selesa dan berprestasi tinggi,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan kepada seramai 100 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan beg persekolahan dan wang tunai bagi meringankan beban persiapan memasuki sesi persekolahan baharu.

RELATED ARTICLES
Utama

490,314 pelajar Sabah mulakan sesi persekolahan 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular