LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mencatat nilai rampasan sebanyak RM263,041.32 atas pelbagai kesalahan yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
Pengarah KPDN WP Labuan, Junaidah Arbain berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 131 kes berjaya dihasilkan menerusi pemeriksaan di 17,428 premis perniagaan di Labuan merangkumi pelbagai kesalahan.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan direkodkan adalah sebanyak RM263,041.32, manakala jumlah kompaun dikenakan berjumlah RM71,300 dan denda sebanyak RM123,500
“Dari jumlah kes yang dihasilkan , sebanyak 68 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011; 39 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972; dan 11 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Selain itu, tujuh kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, dan enam kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam kenyataan di sini.
Junaidah berkata, pihaknya melaksanakan pendekatan penguatkuasaan secara seimbang yang merangkumi tindakan penguatkuasaan berasaskan undang-undang serta sesi advokasi dan turun padang oleh anggota penguat kuasa.
Katanya, pendekatan ini bertujuan memberi pendedahan, pendidikan dan bimbingan kepada peniaga agar lebih memahami serta mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“KPDN WP Labuan menegaskan bahawa pemaparan tanda harga merupakan keperluan asas dalam urus niaga kerana ia membolehkan pengguna membuat perbandingan harga secara telus, mengelakkan kekeliruan serta melindungi hak pengguna daripada amalan pencatutan dan manipulasi harga.
“Justeri itu, peniaga diingatkan supaya memastikan semua barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan dipamerkan dengan tanda harga yang jelas, mudah dibaca dan tepat.
“Selain itu, para peniaga turut disaran agar sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik, termasuk tidak menyorok atau menyeleweng barang kawalan bersubsidi serta tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati, bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan dan menggalakkan pengguna terus menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan untuk menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan salah laku, aktiviti penyelewengan serta pelanggaran undang-undang di bawah seliaan KPDN secara rasmi. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN



