KOTA KINABALU: Pesara perkhidmatan awam akan menerima pelarasan pencen mulai 22 Januari ini selaras pelaksanaan Fasa 2 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelarasan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pesara yang pernah menyumbang kepada pembangunan negara serta pembentukan negara bangsa.
“Kerajaan tidak pernah meminggirkan pesara daripada sistem perkhidmatan awam. Mereka tetap disantuni dan diberi perhatian, pelarasan pencen ini adalah sebahagian daripada komitmen tersebut,” katanya ketika menghadiri Program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Sembulan, pada Ahad.
Pada program tersebut, Wan Ahmad Dahlan menyampaikan bantuan kepada bekas Pembantu Tadbir Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Ng Siew Fong @ Faridah Abdullah, 72, dan surirumah, Lily Tay @ Nur Izzarah Amani, 53.
Kedua-duanya ialah balu kepada Awang Muhamad Karim (pesara Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah) yang meninggal dunia pada penghujung November tahun lalu.
Selain itu, Wan Ahmad Dahlan turut menziarahi Faridah Mubin, 60 yang pernah berkhidmat selama 32 tahun dengan penempatan terakhir di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Wan Ahmad Dahlan berkata kebanyakan bantuan disalurkan dalam bentuk keperluan asas seperti makanan.
“Bagi pesara yang uzur atau berdepan masalah kesihatan, bantuan khas termasuk peralatan perubatan seperti katil boleh laras turut disediakan.
“Pada lawatan kali ini, kebanyakan penerima berada dalam keadaan sihat, maka bantuan diberikan dalam bentuk makanan dan keperluan asas lain,” ujarnya. – Penerangan



