HomeUtamaKerajaan percepat pelaksanaan MA63, 16 perkara masih tertunggak

Kerajaan percepat pelaksanaan MA63, 16 perkara masih tertunggak

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan komited untuk mempercepat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian 16 perkara yang masih tertunggak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara-perkara yang belum diselesaikan akan disusuli secara berfokus dan berperingkat.

Menurutnya, beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke Sarawak termasuk bertemu Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Premier Sarawak bagi mendapatkan pandangan serta input berhubung pelaksanaan MA63 dari perspektif negeri itu.

“Pada masa yang sama, saya juga akan mengadakan kunjungan hormat ke Istana Negeri Sabah serta bertemu Ketua Menteri Sabah bagi mendapatkan pandangan pihak negeri sebelum membawa maklum balas tersebut ke peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Sabah tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya di sini pada pada Selasa.

Mustapha berkata, mekanisme pelaksanaan MA63 kini melibatkan tiga peringkat utama iaitu peringkat penyelarasan yang akan dipengerusikannya sendiri, diikuti Jawatankuasa Teknikal dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof, dan seterusnya Jawatankuasa Utama MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Katanya, sebarang isu yang gagal diselesaikan di peringkat lebih rendah akan dibawa ke peringkat seterusnya bagi memastikan setiap perkara ditangani secara menyeluruh dan tuntas.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan melancarkan sebuah ‘dashboard’ MA63 hujung bulan ini bagi membolehkan rakyat memantau secara langsung status perbincangan, termasuk perkara yang telah diselesaikan dan yang masih dalam rundingan.

“Dashboard ini akan dibuka kepada umum melalui laman web Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat dan sahih,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri II dan semua pihak yang terlibat sebelum ini atas usaha berterusan dalam menjayakan pelaksanaan MA63, sambil menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap baki isu diselesaikan demi kepentingan Sabah dan Sarawak. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Aumas Kaut Untung Bersih RM33.35 Juta Bagi FY25, Didorong Lonjakan Harga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular