KOTA KINABALU: Sabah Oil and Gas Services Council (SOGSC) bersama Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) akan melancarkan secara rasmi Persidangan dan Pameran Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas Sabah 2026 (OGSE Sabah 2026) bagi memperkukuh penglibatan pemain tempatan dalam rantaian bekalan industri minyak dan gas Sabah.
Perhimpunan industri yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 6 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu bertujuan mempercepat pembangunan kandungan tempatan serta meningkatkan keupayaan penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas tempatan.
Program berkenaan selari dengan visi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk memperkasa pemain industri tempatan dan membuka peluang kerjasama strategik serta pertumbuhan mampan.
Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, dan disaksikan wakil pemain industri utama termasuk Petronas, ConocoPhillips, Hess Malaysia, Hibiscus Malaysia dan SMJ Energy.
Maklumat lanjut berkaitan acara dan penyertaan akan diumumkan oleh penganjur melalui saluran rasmi.



