KOTA KINABALU: Seorang Ustaz berusia 71 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan pada tahun lalu.
Kedua-dua mangsa masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun.
Tertuduh, Ahmad Matali, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 13 Februari depan untuk fakta kes dibacakan dan jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun pada 5 Oktober 2025, jam lebih kurang 6.30 petang, di sebuah rumah di sebuah kampung dalam daerah Papar.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad mengaku melakukan kesalahan serupa terhadap seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun pada akhir bulan Jun 2025, sekitar waktu pagi, bertempat di tepi jalan kampung yang sama di dalam daerah Papar.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan, dan tertuduh ditahan sementara menunggu kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


