LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan berjaya menyelesaikan semua 139 aduan pengguna yang diterima sepanjang tahun 2025.
Pengarah KPDN WP Labuan, Junaidah Arbain berkata, pengurusan aduan yang cekap dan tindakan susulan yang menyeluruh memastikan setiap aduan diselesaikan dalam tempoh kurang 15 hari daripada tarikh penerimaan.
Katanya, ia menunjukkan komitmen tinggi KPDN WP Labuan terhadap perlindungan hak pengguna.

“Daripada jumlah aduan tersebut, sebanyak 19 kes telah menghasilkan tindakan penguatkuasaan, manakala 23 aduan dikenal pasti sebagai luar bidang kuasa KPDN dan telah dirujuk kepada agensi berkaitan.
“Analisis kategori aduan menunjukkan aduan berkaitan harga mendominasi dengan 60 kes, diikuti perkhidmatan mengelirukan (23), transaksi dalam talian (18), bengkel kenderaan bermotor (8), dan iklan mengelirukan (6),” katanya dalam kenyataan di sini.
Junaidah berkata, pihaknya turut menekankan bahawa pengurusan aduan merupakan salah satu mekanisme utama untuk melindungi pengguna dan memastikan pematuhan undang-undang oleh peniaga.
“Orang ramai digalakkan terus menyalurkan aduan melalui saluran rasmi, termasuk Portal e-Aduan KPDN, WhatsApp Aduan Pengguna, Hotline, faks, atau hadir sendiri ke pejabat KPDN Labuan.
“Pendekatan bersepadu antara pengurusan aduan, sesi advokasi, dan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan kebajikan pengguna sentiasa terpelihara, meningkatkan pematuhan undang-undang, serta mewujudkan persekitaran perdagangan yang adil dan telus,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN



