HomeUtamaLebih 500,000 murid di Sabah nikmati BAP 2026

Lebih 500,000 murid di Sabah nikmati BAP 2026

Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 yang disalurkan merupakan bukti keprihatinan Kerajaan dalam memastikan setiap murid dapat memulakan persekolahan tanpa sebarang kekangan kewangan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, pendidikan merupakan tiang seri dalam membina sebuah masyarakat yang maju dan harmoni.

Beliau berkata, usaha memajukan pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negara.

“Saya menyeru kepada semua ibu bapa dan penjaga serta warga sekolah agar memberi kerjasama sepenuhnya dalam mengekalkan prestasi yang cemerlang sepanjang proses pengagihan BAP pada tahun ini.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa pihak sekolah hendaklah mematuhi peraturan dan tatacara pengurusan kewangan yang melibatkan BAP serta Surat Pekeliling Kewangan Bil. 5 Tahun 2025: Bantuan Awal Persekolahan dalam menguruskan Pengoperasian BAP di sekolah agar lancar dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan BAP Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah JPNS (Sektor Pembangunan Murid) Muddin Beting.

Majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts Mustapha Sakmud.

Seramai 508,631 orang murid di 1,298 buah sekolah di seluruh Sabah menerima manfaat BAP dengan peruntukan sebanyak RM76 juta.

Menerusi Belanjawan 2026, Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM794 juta kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan pengagihan BAP kepada semua murid Tahun 1 hingga Tingkatan 6 atau yang setaraf dengannya pada sesi persekolahan 2026 tanpa mengira had pendapatan ibu bapa/penjaga di seluruh Negara.

Sebanyak RM730 juta telah disalurkan kepada sekolah untuk diagihkan kepada semua murid bermula pada 8 Januari 2026. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Fadhlina ingatkan sekolah serah BAP RM150 penuh tanpa potongan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular