KOTA KINABALU: Pameran Seni Amal Remaja ARTIVO Sabah 2025 edisi ke-6 yang berlangsung di Galeri K Avenue baru-baru ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM35,875 untuk disalurkan sepenuhnya kepada lapan badan kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ARTIVO, Ainsley Tiew.
Menurut Ainsley, sumbangan yang dikumpulkan itu digabungkan bersama Dana Kebajikan Nasional ARTIVO Malaysia berjumlah RM251,499, sekali gus mencerminkan semangat “Kanak-Kanak Membantu Kanak-kanak” serta membawa mesej kasih sayang dan keprihatinan kepada masyarakat.
Beliau berkata, ARTIVO Sabah turut menyumbang RM2,650 kepada Lions Club – Shoe Box Project bagi menyediakan keperluan asas kepada 106 orang kanak-kanak, termasuk dari kawasan luar bandar, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak autisme, pendengaran terhad serta pesakit kronik.
“Secara keseluruhan, ARTIVO Sabah telah menyalurkan RM27,650 dalam bentuk tunai serta RM8,225 dalam bentuk barangan, termasuk peralatan perubatan, kelengkapan pembelajaran, alat tulis dan bekalan pemakanan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan pengurusan ARTIVO Sabah, ibu bapa, pelajar, guru serta rakan kerjasama atas sokongan padu dalam menjayakan pameran tersebut, sekali gus memupuk nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan kanak-kanak melalui seni.
Pameran Seni Amal Remaja ARTIVO ini dianjurkan dengan sokongan Mega City Builder serta kerjasama Plaza 333 dan Damai Point, dan telah dihadiri kira-kira 500 pengunjung terdiri daripada ibu bapa dan pelajar yang menyaksikan perkembangan bakat, kreativiti serta nilai kemanusiaan kanak-kanak.
Antara penerima sumbangan ialah Palliative Care Association of Kota Kinabalu (PCAKK) sebanyak RM8,000; lima tadika luar bandar di Kota Belud (RM6,000); Jireh Home Tuaran (RM2,000) berserta sumbangan barangan dan beg sekolah.
Turut menerima sumbangan ialah Sabah Cheshire Home (RM2,000) dan bekalan perubatan; Arm of Hope (RM1,500); Sabah Autism Society (RM2,500); Sabah Society for the Deaf (RM1,500); serta Ronald McDonald House (RM1,500) termasuk barangan keperluan harian.
Ainsley berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Autism Society, Sabah Society for the Deaf, Ronald McDonald House dan Jireh Home Tuaran atas kerjasama erat dalam menjayakan inisiatif seni amal berkenaan.
“Inisiatif ini memberi impak positif kepada masyarakat serta mendidik generasi muda untuk menyumbang kembali kepada komuniti,” katanya.



