Oleh Wan Azrain Adnan
KUALA LUMPUR — Lebih ramai rakyat Malaysia kini berupaya memiliki tempat kediaman sendiri, sekali gus mencerminkan peningkatan tahap kesejahteraan dan kestabilan ekonomi isi rumah negara.
Perkara itu didedahkan menerusi Laporan Survei Kemudahan Asas 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tiga minggu lalu, yang memaparkan corak pemilikan kediaman rakyat di kawasan bandar dan luar bandar.
Secara keseluruhan, peratusan pemilikan tempat kediaman mencatatkan peningkatan daripada 76.5 peratus pada 2022 kepada 78.0 peratus pada 2024. Peningkatan ini menggambarkan kedudukan ekonomi isi rumah yang semakin kukuh serta kemampuan rakyat untuk memiliki aset kediaman sendiri.
Dalam tempoh sama, peratusan rakyat yang menyewa dan mendiami kuarters menunjukkan penurunan. Peratusan penyewa menurun daripada 20.3 peratus kepada 19.7 peratus, manakala mereka yang tinggal di kuarters berkurang daripada 3.3 peratus kepada 2.4 peratus.
Dari sudut lokasi, pemilikan kediaman di kawasan luar bandar kekal jauh lebih tinggi berbanding kawasan bandar, masing-masing mencatatkan 88.5 peratus dan 75.0 peratus. Bagaimanapun, laporan itu turut menunjukkan peningkatan kecil peratusan penyewa di luar bandar, daripada 7.1 peratus kepada 7.6 peratus, walaupun kadar penyewaan di bandar menurun.
Kualiti fizikal kediaman rakyat juga menunjukkan penambahbaikan ketara. Peratusan rakyat yang mendiami rumah dengan struktur kukuh meningkat daripada 97.9 peratus kepada 98.6 peratus, dengan kawasan bandar mencatatkan 99.1 peratus dan luar bandar 96.7 peratus. Sebaliknya, peratusan kediaman usang menurun daripada 2.1 peratus kepada 1.4 peratus.
Mengikut negeri dan wilayah, Perlis merekodkan peratusan pemilikan tempat kediaman tertinggi pada 85.8 peratus, diikuti Melaka (85.6 peratus), Kedah (85.3 peratus) dan Perak (85.2 peratus).
Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan peratusan pemilikan terendah iaitu 27.1 peratus, dengan majoriti penduduknya menetap di kuarters. Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (61.4 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (61.1 peratus), Selangor (71.9 peratus) dan Sabah (76.2 peratus).
Faktor harga hartanah yang tinggi di kawasan tertentu dilihat menyumbang kepada kadar pemilikan yang lebih rendah, khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, yang masing-masing mencatatkan kadar penyewaan tinggi pada 38.2 peratus dan 27.3 peratus.
Dalam jangka panjang, pemilikan tempat kediaman di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara seiring pertumbuhan ekonomi negara sepanjang empat dekad. Peratusan pemilikan melonjak daripada 60.8 peratus pada 1984 kepada 78.0 peratus pada 2024, iaitu kadar tertinggi pernah direkodkan.
Walau bagaimanapun, trend pemilikan selepas mencapai kemuncak 77.3 peratus pada 1999 didapati turun naik tanpa perubahan ketara, berkemungkinan dipengaruhi oleh isu kemampuan membeli rumah susulan peningkatan harga hartanah.
Dalam hal ini, Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah 2025/2026 yang diterbitkan oleh firma perunding hartanah Rahim & Co menunjukkan harga rumah secara purata kekal terkawal dan stabil sepanjang tempoh 2021 hingga 2025. Pada suku ketiga 2025, Indeks Harga Rumah nasional hanya meningkat 0.1 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Laporan sama turut mendapati harga rumah di Johor kekal lebih tinggi daripada kadar nasional, manakala Indeks Harga Rumah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang terus berada di bawah paras nasional.
Sepanjang tempoh Januari hingga September 2025, pasaran hartanah negara kekal kukuh apabila nilai transaksi meningkat 5.6 peratus kepada RM172.06 bilion, walaupun jumlah transaksi menurun 2.1 peratus kepada 304,482 unit.
Menurut Rahim & Co, perbezaan antara penurunan jumlah dan peningkatan nilai transaksi mencerminkan kematangan pasaran hartanah, dengan pembeli kini lebih mengutamakan kebolehdiaman, kesalinghubungan serta nilai jangka panjang berbanding elemen spekulatif.
Sektor kediaman kekal sebagai penyumbang terbesar pasaran hartanah negara, meskipun mencatatkan penurunan dari segi jumlah dan nilai transaksi. Jumlah transaksi sektor ini menurun 2.8 peratus kepada 187,073 unit, manakala nilai transaksi susut 0.3 peratus kepada RM77.88 bilion.
Bagaimanapun, jumlah kediaman siap dibina tetapi tidak terjual meningkat kepada 49,428 unit bernilai RM33.19 bilion setakat suku ketiga 2025, khususnya melibatkan pangsapuri bertingkat tinggi dan pangsapuri servis di pusat bandar. Keadaan ini menyebabkan pemaju lebih berhati-hati, dengan pelancaran baharu menurun ketara sebanyak 31.8 peratus kepada 24,913 unit.
Setakat pertengahan 2025, unit kediaman berharga di bawah RM500,000 merangkumi 59 peratus daripada jumlah pelancaran baharu, berbanding purata sejarah sekitar 70 peratus. Ini menunjukkan penawaran kediaman mampu milik dan kompetitif masih kekal signifikan di pasaran. Sehubungan itu, Rahim & Co menjangkakan pasaran hartanah negara akan terus berkembang secara sederhana pada 2026, dipacu bukan oleh kuantiti semata-mata, tetapi oleh penekanan terhadap kualiti, kesesuaian dan keperluan sebenar pembeli.



