Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Adik bekas pengarah Jabatan Air Sabah (JANS), menganggarkan beliau telah menyerahkan sekitar RM12 juta keuntungan perniagaan kepada abangnya, Ag Mohd Tahir Mohd Talib.
Perkara itu didedahkan oleh Ag Mohd Fauzi, 53, ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ke-11 dalam perbicaraan yang melibatkan bekas pengarah JANS Ag Tahir dan isterinya Fauziah Ag Piut, serta bekas timbalan pengarah JANS Lim Lam Beng.
Menurut Ag Fauzi dalam kenyataan saksinya yang menjawab soalan peguam Datuk Hj Ansari Abdullah, beliau mula menjalinkan kerjasama perniagaan dengan abangnya sekitar tahun 2006 selepas menyatakan minat untuk menjadi kontraktor dan menjalankan kerja-kerja pembangunan di Sabah.
Menurutnya, abangnya memberi sokongan penuh terhadap minat tersebut dan beliau (Ag Fauzi) kemudiannya menubuhkan sebuah syarikat sekitar tahun yang sama dengan menjadi kontraktor kecil-kecilan.
Ag Fauzi berkata, kerjasama perniagaan itu berterusan dari 2006 hingga 2015 atau 2016 dan melibatkan kerja-kerja pembangunan.
Ansari: Bagaimana pula dengan modal untuk bisnes kamu?
Ag Fauzi: Abang saya, Ag. Mohd Tahir ada keluarkan modal untuk bisnes kami tapi saya pun tidak ingat jumlah tepat tapi anggaran dalam ratusan ribu, modal bisnes memang dia bagi sama saya secara tunai.
Ansari: Bagaimana cara kamu berkongsi untung dengan Ag Mohd Tahir bin Mohd Talib sepanjang kamu menjadi rakan kongsi perniagaan bersama?
Ag Fauzi: Saya biasanya bagi dia cash.
Ansari: Kamu ingat berapa banyak keuntungan yang kamu berikan kepada Ag. Tahir?
Ag Fauzi: Saya tidak ingat jumlah tepat tapi anggarkan dalam RM12 juta.
Ansari: Ceritakan kepada Mahkamah sekiranya Ag Tahir pernah mendapatkan projek/kerja di JANS untuk kamu?
Ag Fauzi: Dia tidak pernah dapatkan projek atau kontrak untuk bisnes kami. Jadi, saya sendiri yang pandai-pandai cari dan approach jurutera daerah pada masa itu.
Menjawab soalan tambahan, Ag Fauzi menafikan kenyataan saksi pendakwaan ke-29 (PW29), Teo Chee Kong, yang mendakwa beliau (Ag Fauzi) pernah membawa surat permohonan bajet tambahan yang disediakan oleh Teo ke Ibu Pejabat JANS untuk mendapatkan peruntukan, yang kemudiannya didakwa diluluskan oleh Awang Tahir.
“Kenyataan itu tidak benar,” katanya.
Ag Fauzi turut menafikan pernah berurusan dengan Teo serta menegaskan tidak pernah memperoleh sebarang kerja daripada JANS Bahagian Kota Kinabalu.
Sebaliknya, Ag Fauzi berkata kerja-kerja JANS yang diperolehnya adalah daripada daerah-daerah tertentu, antaranya Keningau, Tuaran, Ranau dan Membakut, setakat yang beliau ingat.
Ansari: Bila kamu diberikan kontrak atau sebut harga oleh daerah-daerah berkenaan, ada pernah kamu di minta membayar oleh jurutera atau kakitangan JANS daerah itu 10.75 peratus dari jumlah nilai kontrak?
Ag Fauzi: Ada tapi saya tidak pasti berapa percent
Ansari: Siapa yang minta
Ag Fauzi: Jurutera Daerah
Semasa menjawab soalan pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahadi Abdul Jumaat, Ag Fauzi mengakui Ag Tahir adalah pengarah JANS ketika beliau menerima kontrak dari JANS dari tahun 2006 dan 2015.
Ditanya mengenai bayaran kepada jurutera, Ag Fauzi mengesahkan pembayaran tersebut memang berlaku, namun menafikan dakwaan jumlah bayaran antara 27.5 hingga 30 peratus daripada nilai kontrak.
Mahadi: Ini soalan dan jawapan kamu. Saya mahu sahkan sekarang. Perkara ini memang betul-betul ada berlaku?
Ag Fauzi: Betul
Mahadi: Dan setuju kalau saya katakan, jumlah yang awak bayar kepada jurutera daerah dan jurutera bahagian itu berjumlah 27.5 sehingga 30 peratus daripada nilai kontrak. Betul?
Ag Fauzi: Tidak betul
Mahadi: Ini saya katakan, awak boleh setuju atau tidak. Selepas awak serahkan 27-30% kepada jurutera air dan daerah Mereka kemudian akan serahkan 10.75 peratus kepada ‘Centralised Collection Scheme’ di mana penerima terbesar dalam skim ini adalah Abang kamu sendiri Ag Tahir, setuju?
Ag Fauzi: Tidak setuju
Menjawab soalan lain daripada Mahadi, Ag Fauzi memaklumkan sepanjang tempoh 2006 hingga 2016, jumlah projek JANS yang diperolehnya dianggarkan sekitar 30 hingga 50 projek, dan tidak sampai ratusan projek.
Namun, beliau berkata tidak dapat menganggarkan nilai keseluruhan projek, dan mengakui anggaran RM12 juta yang diberikan kepada Ag Mohd Tahir adalah sekadar anggaran.
Mahadi: kalau kamu tak boleh ingat nilai projek mcm mana kamu boleh bayar RM12 juta sama Ag Tahir?
Ag Fauzi: Itu anggaran…
Mahadi: Kalau Ag Tahir dapat RM12 juta, untung kamu berapa?
Ag Fauzi: Saya anggarkan dalam RM4 ke RM5 juta
Mahadi: Yang buat kerja kamu, buat dokumen kamu, urus pekerja kamu, yang memberi dikatakan modal itu Ag Tahir, jadi untung dia lebih besar dari kamu. Itu maksud awak?
Ag Fauzi: Ya, sebab dia bagi modal besar
Mahadi: Berapa besar modal dia bagi?
Ag Fauzi: Dalam keterangan saksi saya, saya cakap ratus ribu. Sudah lama… saya tidak ingat
Ketiga-tiga tertuduh berdepan dengan pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta, serta pemilikan barang mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim juga mengendalikan pendakwaan.
Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh peguam Datuk Hj Ansari Abdullah dan Erveana Ansari. Manakala Lim diwakili oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.
Perbicaraan bersambung esok di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat.



