KOTA KINABALU : Kerjasama erat antara rakyat dan agensi keselamatan, khususnya melalui penyelarasan menyeluruh oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadi asas penting mengekalkan keamanan serta kestabilan termasuk di Sabah.
Timbalan Ketua Pengarah MKN, Datuk Baharuddin Ahmad berkata pihaknya berperanan menyelaras semua isu keselamatan merangkumi aspek sempadan darat, maritim dan udara dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan di seluruh negara.
“Sabah mempunyai potensi besar khususnya dalam sektor pelancongan, maritim dan ekonomi yang mampu menjana pulangan berbilion ringgit sekiranya dibangunkan secara bersungguh-sungguh.
“MKN berusaha untuk mengkoordinasi isu-isu keselamatan daripada sempadan maritim, udara untuk seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Semananjung.
“Sabah ini mempunyai rezeki yang terlalu luas daripada sudut maritimnya, pelancongan, sosial dan sudut minyaknya. Kita koordinasi dengan semua, agensi maritim, petroleum, sosial dan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di sini pada Khamis.
Kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan persaraan Baharuddin selepas berkhidmat 38 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MKN kepada Tun Musa.
Selain itu, beliau juga menegaskan keamanan yang dikecapi turut didorong oleh kesinambungan kepimpinan negara dan berharap kerjasama erat antara rakyat serta agensi keselamatan terus diperkukuh bagi menjamin kestabilan.



