Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai, Kinabatangan merekodkan jumlah murid paling sedikit iaitu seramai empat murid secara keseluruhan melibatkan tahun satu hingga tahun enam pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, sekolah itu merupakan antara 19 buah Sekolah Kurang Murid (SKM) di negeri ini yang dikenal pasti mempunyai bilang murid kurang daripada 20 orang.
Beliau berkata, sebanyak 390 buah SKM direkodkan sehingga Ogos 2025 yang mencerminkan realiti cabaran pendidikan di kawasan pedalaman dan berpenduduk jarang.
“Berdasarkan rekod, majoriti sekolah terbabit berada di kategori SKM B, dengan bilangan murid antara empat hingga 19 orang, termasuk sekolah di daerah Keningau, Kinabatangan, Kota Kinabalu, Kuala Penyu, Penampang, Ranau, Sandakan, Semporna, Tenom dan Tuaran.
“Antara sekolah lain yang mencatat jumlah murid rendah ialah SK Nangkawangan dan SK Mamagun di Keningau (masing-masing 20 murid), SK Ruminding (16 murid), SK Longkogungon (8 murid) serta SK Poring di Tuaran (6 murid),” katanya ketika dihubungi di sini.
Raisin berkata, meskipun berdepan kekangan bilangan murid, JPNS menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan murid-murid di SKM menerima pendidikan terbaik dan berkualiti, setara dengan sekolah lain di bandar.
Sebelum ini tular sebuah video berdurasi sepanjang 41 saat memapatkan beberapa murid hadir ke sekolah SK Desa Permai, Kinabatangan yang menjadi perhatian pengguna media sosial. – SABAH MEDIA



