KOTA KINABALU: Jalan raya Persekutuan di Sabah yang uzur dan rosak berulang kali menjadi ancaman nyata terhadap keselamatan nyawa pengguna apabila penyelenggaraan menyeluruh gagal dilaksanakan.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Azrul Ibrahim berkata, hampir 1,000 kilometer jalan persekutuan menghubungkan kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur di negeri ini menjadi laluan utama pergerakan harian rakyat, peniaga kecil dan pengusaha logistik.
Namun katanya, sebahagian besar laluan tersebut dilaporkan berada dalam keadaan tidak selamat, berlubang dan rosak berulang.
“Kekurangan dana penyelenggaraan memaksa kerja baik pulih dilakukan secara tampalan sementara, bersifat reaktif dan tidak mampan.
“Jalan yang sama ditampal berkali-kali tanpa penyelesaian menyeluruh, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan dan menambah kos jangka panjang kepada kerajaan.
“Keadaan lebih membimbangkan apabila terdapat jalan raya persekutuan di Sabah yang tidak menerima penyelenggaraan menyeluruh hampir 20 tahun, sedangkan jumlah kenderaan, beban logistik serta kesan cuaca ekstrem terus memberi tekanan berpanjangan terhadap struktur jalan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Azrul yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, situasi itu turut memberi kesan langsung kepada ekonomi negeri apabila kos logistik meningkat, masa perjalanan bertambah dan akses ke kawasan luar bandar menjadi semakin terhad.
Katanya, keadaan tersebut secara tidak langsung menjejaskan kesejahteraan rakyat serta daya saing ekonomi Sabah.
Dalam isu ini katanya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan bahawa isu penyelenggaraan jalan raya persekutuan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kepentingan asas dan keselamatan rakyat.
“Beliau (Ketua Menteri) berulang kali membangkitkan perkara itu dalam pertemuan dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk ketika Pemukiman Kerajaan Perpaduan, dengan menegaskan keperluan penyelesaian segera dan menyeluruh,” katanya.
Dalam konteks penyelesaian jangka Panjang katanya, pemberian 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dilihat penting bagi memastikan negeri mempunyai keupayaan kewangan mencukupi untuk memulihkan infrastruktur jalan secara menyeluruh dan mampan.
Menurutnya, sebahagian besar dana tersebut wajar disalurkan secara terancang kepada penyelenggaraan dan pemulihan Jalan Raya Persekutuan, selari dengan penstrukturan sistem pengurusan jalan yang lebih bersepadu. – SABAH MEDIA



