Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Usaha memperkukuh pengurusan serta meningkatkan kecekapan operasi jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Sabah memasuki fasa penting apabila projek pembinaan Kompleks Mini NRES dirasmikan menerusi majlis pecah tanah di sini, hari ini.
Majlis bersejarah itu disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, bertempat di Daerah Penampang, selepas hampir 32 tahun penantian untuk memiliki kompleks kementerian sendiri.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jaffry Arifin.
Menurut Arthur, Kompleks Mini NRES dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 6.7 ekar dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sebagai agensi pemilik, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilantik sebagai agensi pelaksana projek.
Katanya, pembinaan kompleks itu akan menempatkan beberapa jabatan utama di bawah NRES Sabah yang sebelum ini beroperasi secara berasingan, iaitu Ibu Pejabat JUPEM Sabah, Pejabat Topografi Wilayah Kota Kinabalu JUPEM Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Sabah serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Sabah.
“Selain bangunan pentadbiran, kompleks berkenaan turut merangkumi Dewan Serba Guna, makmal JMG, gudang serta pejabat pengurusan MetMalaysia,” katanya ketika ditemui media selepas majlis itu.
Arthur berkata, Projek Kompleks Mini NRES Sabah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tahun 2023 dengan kos pembinaan kira-kira RM80.9 juta.
“Kerja-kerja pembinaan bermula pada 2 Oktober 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2029, dengan tempoh pelaksanaan sekitar 40 bulan,” jelasnya.
Tambah beliau, pembinaan kompleks itu akan memusatkan operasi jabatan-jabatan yang sebelum ini berselerak di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, sekali gus memudahkan urusan pentadbiran, penyelarasan kerja, mesyuarat serta latihan dalaman.
“Selama ini kebanyakan pejabat di bawah NRES Sabah terpaksa beroperasi di bangunan sewaan. Dengan adanya kompleks ini, kita bukan sahaja memiliki aset sendiri, malah dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dan kualiti penyampaian perkhidmatan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, lokasi kompleks yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) turut memberi kelebihan dari segi logistik dan akses.
“Dari aspek kelestarian, Kompleks Mini NRES Sabah akan menerapkan ciri-ciri bangunan hijau termasuk reka bentuk hijau pasif, kecekapan tenaga serta konsep binaan yang selari dengan fungsi dan dasar NRES dalam memelihara alam sekitar.
“Keseluruhan fasad bangunan pula akan menampilkan identiti Sabah yang moden, harmoni dan berteraskan elemen seni bina tempatan,” katanya.
Arthur turut menjelaskan, kelewatan pembinaan kompleks berkenaan sebelum ini berpunca daripada kekangan kewangan serta keutamaan kepada projek-projek pembangunan lain yang lebih mendesak.
“Sebagai wakil rakyat dari Sabah, saya berasa amat berbangga kerana akhirnya hasrat untuk memiliki Kompleks Mini NRES di negeri ini dapat direalisasikan,” katanya.



