HomeUtamaMA63 kekal agenda utama - Peguam Negara

MA63 kekal agenda utama – Peguam Negara

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus kekal sebagai antara agenda utama Kerajaan Madani, kata Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Beliau berkata, Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperhalusi dan menyelesaikan perkara-perkara berkaitan MA63 yang masih belum dimuktamadkan.

“Pelaksanaan perkara di bawah MA63 dilaksanakan melalui perbincangan dan rundingan, terutamanya menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

“MTPMA63 merupakan sebuah forum yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah, menteri-menteri Persekutuan dan negeri-negeri Borneo, saya sendiri serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.

Mohd Dusuki berkata, satu lagi platform rundingan yang telah ditubuhkan ialah Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Menurut beliau, jawatankuasa itu turut disertai oleh menteri-menteri serta pegawai kanan kementerian daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri Borneo.

“Kedua-dua platform ini bertujuan untuk menetapkan hala tuju serta membuat keputusan dasar berkaitan pelaksanaan MA63, berpandukan Perlembagaan Persekutuan, MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 (Laporan IGC) serta undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC), sebagai penasihat undang-undang utama kepada Kerajaan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, memikul tanggungjawab besar untuk meneliti semua perkara dan cadangan penyelesaian secara menyeluruh.

Katanya, penelitian itu dilakukan dengan mengambil kira semua aspek berkaitan tanpa menjejaskan fakta sejarah yang telah ditetapkan.

“Perbincangan semua isu dalam forum-forum ini telah dan mesti terus dikendalikan dengan penuh berhati-hati, serta dengan penghormatan tertinggi terhadap hak Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri Borneo, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Jalan Persekutuan uzur, rosak ancam nyawa pengguna – Azrul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular