BELURAN : Qari Mohd Shafiqin Fadzly dan qariah Siti Ainul Suffiah Fatonah Masran bakal mewakili daerah Beluran ke Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Bahagian 1447H/2026M yang akan berlangsung di Masjid Daerah Sandakan, Sabtu depan.
Kedua-dua peserta ini muncul juara dalam kategori masing-masing pada MTQ Peringkat Daerah Beluran 1447H/2026M yang diadakan di Dewan Serbaguna, Beluran, pada Jumaat.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Luar Bandar, Datuk Samad Jambri, yang diiringi Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Muhamed Suzaile Sulaiman, yang juga Pengerusi Badan Dakwah Daerah, serta Pegawai Tadbir Agama JHEAINS, Faizul Abdul Asik.
Acara turut diimarahkan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Penaung dan Ketua Guru Pembimbing Akademi Tahsin Quran Negeri Sabah (ATQNS), Razman Asmat, selain persembahan nasyid oleh Kumpulan Tahsiniat, menambahkan suasana keagamaan dan meriahkan majlis.



