HomeUtama375 murid di Sungai Manila terima manfaat program kembali ke sekolah

375 murid di Sungai Manila terima manfaat program kembali ke sekolah

Read Time:1 Minute, 22 Second

SANDAKAN : Seramai 375 murid Tahun Satu daripada enam buah sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila menerima manfaat menerusi program Kembali Ke Sekolah yang berlangsung di Dewan Taman Cahaya, di sini, pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada ibu bapa dan murid.

Beliau berkata, ini sekali gus membuktikan keperluan inisiatif kebajikan seperti itu wajar diteruskan secara konsisten.

Menurutnya, program tersebut merupakan aktiviti kedua dalam rangkaian program kemasyarakatan yang dirancang sepanjang tahun ini selepas pihaknya menganjurkan program potong rambut percuma pada minggu lalu sebagai persediaan awal sesi persekolahan baharu.

“Pada hari ini, kita mengagihkan perlengkapan sekolah kepada murid-murid yang terlibat selain turut menyediakan kek sempena sambutan ulang tahun sebagai tanda penghargaan dan untuk memeriahkan suasana,” katanya ketika ditemui media selepas program itu.

Beliau menambah, pelbagai lagi program kebajikan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa termasuk inisiatif khas sempena bulan Ramadan selaras dengan usaha mendekati rakyat dan meringankan beban golongan memerlukan.

Dalam perkembangan lain, Hazem turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Sawit Kinabalu.

Katanya, jawatan tersebut lazimnya disandang oleh Ketua Menteri sendiri justeru pelantikan berkenaan merupakan satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Memandangkan Sungai Manila merupakan kawasan penempatan transmigrasi yang majoritinya bergantung kepada industri kelapa sawit saya berharap peranan ini dapat dimanfaatkan untuk membantu masyarakat setempat,” katanya.

Beliau memaklumkan akan memulakan tugas rasmi minggu hadapan dengan fokus memastikan Sawit Kinabalu terus kekal sebagai aset strategik negeri yang diurus secara berintegriti dan berdaya saing sekali gus memberi manfaat kepada kerajaan serta rakyat Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji zahir penghargaan kepada rakyat, jentera parti dan pentadbiran negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular