BEAUFORT: Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) merancang untuk menjadikan rumah tradisional masyarakat Bisaya sebagai produk inap desa atau homestay bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke daerah itu.
Presiden PBBS Datuk Ruslan Muharam berkata, ia sekali gus dapat memelihara warisan seni bina tradisional yang semakin pupus.
Beliau berkata, perancangan itu merupakan antara inisiatif kepimpinan baharu PBBS bagi memperkasakan ekonomi komuniti menerusi sektor pelancongan berasaskan budaya dan identiti masyarakat Bisaya.

“Pada ketika ini, sebanyak dua buah rumah tradisional Bisaya telah dibangunkan di kawasan bangunan PBBS sebagai langkah awal sebelum diperluaskan pada masa hadapan.
“Rumah tradisional ini bukan sahaja berfungsi sebagai penginapan kepada pelancong, malah menjadi medium pendidikan budaya kepada generasi muda serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Pengalaman menginap di rumah tradisional Bisaya memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan desa, selain membuka peluang pendapatan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan barisan kepimpinan PBBS sesi 2025-2028 di sini pada Sabtu.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, selain homestay, PBBS turut melihat potensi kebudayaan lain seperti tarian tradisional, muzik kulintangan, makanan serta kraf tangan untuk diketengahkan kepada pelancong, selaras dengan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Kita juga akan bekerjasama dengan kerajaan serta agensi berkaitan bagi memudah cara pelaksanaan inisiatif tersebut supaya dapat memberi impak ekonomi yang berterusan kepada masyarakat Bisaya,” katanya. – SABAH MEDIA



