MELAKA, — Selangor merekodkan jumlah kes kebankrapan tertinggi di negara ini, dengan sebahagian besar melibatkan penjawat awam khususnya golongan guru, menurut Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).
Ketua Pengarah MDI, Datuk Ishak Bakri berkata, keadaan itu berpunca daripada liabiliti pinjaman peribadi yang tinggi, sekali gus menjadikan pekerja bergaji tetap lebih terdedah kepada risiko kebankrapan berbanding kumpulan lain.
Beliau berkata, individu berpendapatan tetap lazimnya lebih mudah mendapat kelulusan pinjaman, namun kegagalan mengurus kewangan secara berhemah boleh menyebabkan mereka terperangkap dalam beban hutang jangka panjang.
“Stabiliti pendapatan yang dimiliki penjawat awam membolehkan mereka membuat pinjaman, tetapi apabila komitmen hutang tidak terkawal, ia boleh membawa kepada kesukaran kewangan yang berpanjangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program literasi kewangan MDI di Politeknik Merlimau di sini hari ini.
Ishak berkata, dapatan itu disokong oleh data peringkat negeri MDI serta pengalaman jabatan berkenaan dalam melaksanakan program literasi kewangan di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 200,000 individu berjaya dilepaskan daripada status kebankrapan sepanjang tahun lalu, melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan.
Menurut beliau, pencapaian itu selaras dengan perubahan pendekatan sistem insolvensi negara yang kini lebih menekankan aspek kebajikan dan pemulihan, berbanding pendekatan bersifat hukuman, sejajar dengan dasar peluang kedua kerajaan.
Beliau berkata, pindaan Akta Insolvensi 1967 pada tahun 2023 memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Insolvensi untuk meluluskan pelepasan kebankrapan tanpa perlu perintah mahkamah, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.
“Kelayakan semasa termasuk individu berusia lebih 70 tahun, mereka yang berada dalam tempoh kebankrapan yang lama, serta individu yang disahkan menghidap masalah kesihatan mental,” katanya.
Ishak turut memaklumkan bahawa Malaysia antara negara perintis yang mengiktiraf kesihatan mental sebagai alasan sah untuk pelepasan kebankrapan, dengan pengesahan perubatan sulit membolehkan pelepasan segera diberikan.
Mengulas perancangan akan datang, beliau berkata MDI bercadang memperkenalkan kriteria pelepasan pantas baharu melibatkan ibu tunggal, mangsa penipuan kewangan serta peminjam mikro. – BERNAMA



