HomeUtamaParlimen : Agong Kecewa Rasuah Babit Pegawai Tertinggi ATM

Parlimen : Agong Kecewa Rasuah Babit Pegawai Tertinggi ATM

Read Time:1 Minute, 20 Second

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan mendalam terhadap kes rasuah yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk melibatkan pegawai di peringkat tertinggi, dan menyifatkan perkara itu sebagai satu tamparan serius terhadap integriti institusi pertahanan negara.

Bertitah ketika merasmikan pembukaan Persidangan Parlimen di sini hari ini, Baginda menyatakan rasa amat dukacita apabila jenayah rasuah yang sepatutnya dibanteras tanpa kompromi telah menular sehingga ke tahap kepimpinan tertinggi ATM.

“Agaknya selepas ini saya patut lantik sarjan saja jadi  Panglima Angkatan Tentera,” titah Baginda, sebagai gambaran kekecewaan terhadap keruntuhan nilai integriti dalam kalangan kepimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara.

Sultan Ibrahim bertitah, sebarang perancangan dan dasar pembangunan negara tidak akan mencapai matlamat sekiranya amalan rasuah masih berleluasa dalam sistem pentadbiran dan institusi strategik negara.

Menurut Baginda, kes-kes rasuah yang terbongkar setakat ini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar dan disifatkan sebagai “puncak gunung ais”, sambil menyatakan keyakinan bahawa masih terdapat banyak lagi kes yang belum didedahkan.

Baginda turut menyatakan kebimbangan bahawa amalan rasuah bukan sahaja berpotensi berlaku dalam ATM, malah boleh melibatkan jabatan dan agensi lain termasuk Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia serta institusi legislatif di peringkat negeri.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan secara menyeluruh, tegas dan berterusan tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

Baginda menyeru rakyat agar memainkan peranan sebagai mata dan telinga negara dengan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah kepada pihak berkuasa, sambil menekankan bahawa tindakan mesti diambil bukan sahaja terhadap penerima rasuah, malah terhadap pemberi serta ejen yang bersubahat.

“Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran demi menjamin masa depan negara,” titah Baginda.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendengaran saman perlombongan ditangguh ke 18 Mac

Anwar Ibrahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular