PUTATAN: Kerjasama berterusan antara penduduk dan pihak berwajib dilihat penting bagi menangani isu kebersihan parit, wabak denggi serta banjir kilat di sekitar Putatan, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, penduduk perlu segera mengadukan sebarang masalah berkaitan sistem saliran kepada pihak berwajib termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Putatan (MDPTN) serta agensi berkaitan supaya tindakan dapat diambil dari semasa ke semasa.
Menurutnya, tanpa maklumat daripada penduduk, banyak isu di peringkat akar umbi berisiko terlepas pandang, sekali gus menyukarkan pihak pelaksana menjalankan tindakan pencegahan yang berkesan.
Justeru, dengan adanya kerjasama berkenaan, ia dilihat sebagai mekanisme terbaik dalam mencari penyelesaian, dan bukan sekadar menuding jari terhadap satu pihak sahaja.
“Isu parit tersumbat, kotor dan penuh sampah sarap ini merupakan antara permasalahan yang perlu diselesaikan dari pihak masyarakat hinggalah ke pihak pelaksana tugas seperti PBT dan sebagainya.
“Saya menyeru kepada mana-mana penduduk supaya terus memberikan kerjasama mereka jika ada permasalahan ini terus berlaku dan kepada pihak yang terlibat, kita berharap supaya isu ini dapat ditangani dari semasa ke semasa, jangan tunggu ada aduan barulah mahu bertindak, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas program walkabout di kawasan perumahan Taman Bersatu, Putatan, hari ini.
Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib; ADO Pembangunan, Hafiz Murneh serta rombongan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air Negeri Sabah dan syarikat konsensi terlibat.

Mengulas lanjut Shah Alfie berkata, berkata program turun padang itu membuka ruang komunikasi dua hala apabila penduduk berani menyuarakan masalah sebenar yang dihadapi di kawasan mereka, khususnya berkaitan perparitan dan lampu jalan.
“Kerjasama beginilah yang kita harapkan daripada penduduk di mana mereka menyuarakan isu setempat.
“Hasil tinjauan juga, kita mendapati ada longkang-longkang dan parit di kawasan ini sumbat serta roboh infrastrukturnya yang mana perlu diatasi di masa hadapan.
“Perkara ini kita akan bawa ke peringkat seterusnya dalam memastikan tahap keselesaan serta keselamatan penduduk terus terbela,” katanya.




