KOTA KINABALU: Seorang pemilik kedai didenda sejumlah RM4,000 kerana memiliki dan menjual produk tidak berdaftar serta kosmetik tanpa notifikasi.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain, menjatuhkan hukuman itu ke atas Ho Xue Nie, 28, yang mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, Ho didenda RM1,000 atau 14 hari penjara kerana menjual dua produk tidak berdaftar pada jam 10.40 pagi, 13 Jun 2024, di sebuah premis di Ranau.
Bagi pertuduhan kedua, Ho diperintahkan membayar RM1,500 atau sebulan penjara kerana memiliki lima produk tidak berdaftar di tempat dan masa yang sama.
Kesalahan ini di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Ho didenda lagi RM1,500 atau sebulan penjara kerana memiliki 23 jenis kosmetik tanpa notifikasi di tempat dan masa yang sama.
Semasa rayuan, peguam Dominic Chew, yang mewakili Ho, memohon agar denda tidak melebihi RM1,000, kerana perlu menyara keluarganya dan suami yang mengalami kecacatan.
Chew turut menyatakan bahawa Ho mempunyai sumber terhad dan pengetahuan yang minimum mengenai produk yang dijual, dan pengakuan bersalahnya menunjukkan rasa menyesal.
Chew menambah bahawa Ho telah kehilangan hampir RM5,000 nilai barangan yang dirampas semasa serbuan, dan perniagaan itu adalah kecil-kecilan dan bukannya Syarikat besar.
Namun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Farmasi Sabah, Thai Yih Yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dan wajar, agar ia menjadi pengajaran kepada tertuduh dan sebagai amaran kepada mereka yang menjalankan perniagaan sama.
Thai menegaskan bahawa pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik diperlukan sebagai kawalan peraturan, untuk memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk terjamin sebelum digunakan oleh orang awam.
“Walaupun produk tidak berdaftar atau kosmetik tanpa notifikasi kelihatan selamat atau berdaftar di negara asalnya, ia masih menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan kepada pengguna.
Selain itu, usaha menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tanpa notifikasi mengelirukan pengguna dan mengabaikan hak mereka untuk menerima produk yang selamat,” katanya.



