KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menasihatkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) agar menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti kerana mereka mewakili Kerajaan Negeri di kawasan masing-masing.
Beliau berkata PPM yang berkhidmat di kawasan pembangkang, khususnya, memikul tanggungjawab yang besar untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Selain mematuhi arahan kerajaan, peranan PPM di kawasan pembangkang adalah mencabar. Kamu adalah mata dan telinga kerajaan. Laksanakanlah tugas dengan baik,” katanya selepas merasmikan majlis angkat sumpah fasa kedua bagi 35 PPM, yang mana kebanyakannya akan berkhidmat di kawasan pembangkang di Menara Kinabalu, disini hari ini.
Seramai 45 PPM telah mengangkat sumpah jawatan pada majlis angkat sumpah pertama pada 13 Januari lalu.
“Kamu mesti menjaga imej kerajaan. Jangan lakukan perkara demi kepentingan peribadi. Jika saya mendapati ada yang mengejar kepentingan sendiri dan mengabaikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka. Jangan salah gunakan kuasa tetapi berikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.
Hajiji juga menegaskan semula bahawa PPM mesti menjelaskan kepada peringkat akar umbi mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Turut hadir ialah menteri-menteri kabinet dan Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.



