HomeUtamaTingkatan 6, Matrikulasi kini di bawah KPT

Tingkatan 6, Matrikulasi kini di bawah KPT

Read Time:1 Minute, 17 Second

KUALA LUMPUR: Keseluruhan sistem matrikulasi, Tingkatan 6 dan laluan pra-universiti kini diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sekali gus mengiktiraf pelajar di peringkat tersebut sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan tinggi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem pendidikan negara bagi memastikan pendidikan tinggi lebih tersusun dan inklusif.

Selain itu katanya, kerajaan turut memperluaskan inisiatif pendidikan percuma, termasuk bantuan kepada 10,000 pelajar kategori miskin melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta kira-kira 3,000 pelajar orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti bermula tahun ini.

“Semua inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk mereformasi sistem pendidikan negara agar lebih inklusif, mampan dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, di sini, pada Selasa.

Beliau turut menekankan sokongan terhadap guru dan sekolah sebagai asas kejayaan pelajar, dengan kerajaan memperuntukkan tambahan RM100 juta bagi menambah baik kemudahan dan kebajikan guru, termasuk bilik guru, serta usaha berterusan untuk mengurangkan beban pentadbiran.

Dalam usaha meningkatkan prasarana, Perdana Menteri berkata kerajaan telah membelanjakan RM1 bilion pada 2023 bagi menyelesaikan isu kemudahan asas sekolah, termasuk tandas, manakala lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah di setiap daerah akan dipilih untuk dilengkapi dengan kemudahan terbaik, bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga mutu pengajaran subjek teras.

“Kerajaan juga sedang merangka Akta Politeknik dan Komuniti, dengan 10 politeknik dikenal pasti untuk dinaik taraf secara berperingkat, khususnya dalam bidang digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI),” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Electricity sumbang RM5.2 juta melalui inisiatif CSR, perkasa kesejahteraan rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular