HomeUtamaAnak syarikat Sedco gagal untung setahun berdepan MBO atau ditutup - Masiung

Anak syarikat Sedco gagal untung setahun berdepan MBO atau ditutup – Masiung

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Anak-anak syarikat di bawah Kumpulan Sedco yang gagal mencatat keuntungan dalam tempoh setahun akan melalui proses management buyout (MBO) atau ditutup, tegas Pengerusinya, Datuk Masiung Banah.

Beliau berkata, mengekalkan syarikat yang terus mencatat kerugian hanya akan membebankan agensi induk dan menjejaskan keseluruhan prestasi kumpulan.

“Jika kita pertahankan syarikat yang rugi dan membebankan agensi induk, umpama kita bermain bola ‘gol sendiri’.

“Kita mahu melihat prestasi mereka, sama ada sasaran tercapai atau tidak. Jika tidak tercapai, kita perlu tahu sebabnya. Jika tercapai, kita perlu tingkatkan lagi,” katanya.

Masiung berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu menegaskan komitmennya untuk melaksanakan reformasi signifikan terhadap urus tadbir anak syarikat yang didapati kurang berdaya saing dalam industri masing-masing.

Menurutnya, syarikat yang gagal mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) diwajibkan mengemukakan pelan tindakan bagi memperbaiki prestasi operasi dan kedudukan kewangan semasa.

Mengulas lanjut, Masiung berkata beliau bersama pengurusan tertinggi Sedco kini dalam proses menilai keberkesanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat korporat di bawah Kumpulan Sedco.

“Walaupun setakat ini belum ada laporan serius berkaitan salah laku korporat dalam struktur melibatkan anak-anak syarikat, operasi mereka tetap akan dipantau setiap tiga bulan.

“Saya bukan sekadar memberi arahan, sebaliknya akan turun ke lapangan dari semasa ke semasa bagi memantau operasi anak-anak syarikat ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, sebanyak 23 anak syarikat kini beroperasi dalam pelbagai industri di bawah Kumpulan Sedco.

Katanya, tiga syarikat akan menjadi tumpuan utama tahun ini dalam usaha menjana rantaian ekonomi negeri, iaitu Sedco Mining Sdn Bhd, projek Kudat Blue Economy Park dan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd.

Turut hadir pada majlis amanat 2026 itu ialah Timbalan Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Azrul Ahmad.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara: Pengetua dedah laporan rasmi wujud, ‘diserah’ secara lisan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular