HomeUtamaIbu bapa sambut baik penilaian darjah 4, mahu pelaksanaan lebih terancang

Ibu bapa sambut baik penilaian darjah 4, mahu pelaksanaan lebih terancang

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU : Pelaksanaan semula sistem penilaian murid sekolah rendah pada peringkat darjah 4 disambut dengan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa.

Sistem penilaian yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 dilihat sebagai satu langkah bagi memperkukuh kualiti pendidikan negara.

Beberapa ibu bapa yang dihubungi Sabah Media mahu pelaksanaan sistem itu dilaksanakan dengan lebih terancang dan jelas.

Bagi Wan Redzuan, penilaian di darjah 4 boleh berfungsi sebagai alat diagnostik awal untuk mengenal pasti tahap keupayaan sebenar murid sebelum mereka melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Kebaikannya, kita boleh kesan awal kekuatan dan kelemahan anak. Tapi tekanan prestasi terlalu awal juga perlu diambil kira,” katanya.

Menurut beliau, jika penilaian itu berskala besar, ia wajar diberikan nama khusus seperti Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebelum ini bagi memudahkan pemahaman masyarakat serta membantu ibu bapa dan murid menetapkan sasaran pembelajaran.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan projek perintis melibatkan beberapa sekolah terpilih terlebih dahulu.

“Apapun, perlu sekolah pilot dahulu. Kaji pelaksanaan, barulah prosedur standard operasi  (SOP) dapat diterangkan dengan jelas kepada orang ramai.

“Walaupun pendedahan awal boleh mematangkan pemikiran kanak-kanak, ia turut membawa beban kepada ibu bapa, guru serta sistem pendidikan jika tidak dirancang rapi,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Chellsie berkata, anaknya yang kini berada di Darjah 4 di sebuah sekolah rendah Cina menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan matriks pembelajaran, yang disifatkan penting untuk menilai penguasaan asas literasi, numerasi dan sains murid.

“Jika keputusan diperoleh lebih awal dan jelas, ibu bapa boleh merancang hala tuju pendidikan anak, termasuk keperluan tuisyen atau pertukaran aliran sekolah,” katanya.

Beliau turut menyambut baik pelaksanaan penilaian itu yang dijadualkan pada Oktober, memberi ruang persediaan kepada murid dan ibu bapa.

Namun, beliau berpandangan peperiksaan penting di Darjah 6 seperti UPSR atau setaranya masih relevan, bagi menilai kesediaan murid sebelum ke sekolah menengah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dua peniaga dikompaun, langgar peruntukan undang-undang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular