KOTA KINABALU: Laporan rasmi berhubung insiden melibatkan pelajar, Zara Qairina Mahathir, telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha, Shaharoom Hashim, 51, ketika menjawab soalan peguam, Shahlan Jufri, pada prosiding inkues kematian Zara.
Shaharoom memberitahu Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa laporan rasmi tersebut disediakan oleh Setiausaha Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah berkenaan.
Shaharoom, saksi ke 47, yang dipanggil semula memberi keterangan mengakui ada melihat melihat dan meneliti laporan berkenaan sebelum dihantar kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Beliau turut memaklumkan laporan berkenaan, yang mengandungi tiga muka surat, masih tersimpan di dalam telefon bimbitnya.
Susulan pendedahan baharu mengenai kewujudan laporan tersebut, koroner menangguhkan prosiding inkues bagi membolehkan semua pihak meneliti dokumen berkenaan.
Shahlan: Laporan bertulis kepada PPD dan JPN pernah dihantar?
Saksi: Melalui saya tiada
Shahlan: Bermaksud tidak ada laporan rasmi daripada pihak sekolah kepada PPD dan JPN mengenai kes Zara ini.
Saksi: Ada. Selepas saya yang hantar melalui whatsapp, penyelarasan dan perkara-perkara yang berlaku dilaporkan oleh Setiausaha Hal Ehwal Murid (HEM)
Apabila prosiding bersambung, Mahkamah dimaklumkan bahawa terdapat dua laporan bertulis berasingan, iaitu laporan awal berkaitan kes seorang murid yang terjatuh di asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Limawan, Papar, serta satu lagi laporan awal khusus berkaitan kes Zara Qairina Mahathir yang mengandungi tiga muka surat.
Menurut Shaharoom, laporan pertama diterimanya pada 16 Julai ketika beliau berada di hospital, sebelum ia dimajukan kepada PPD dan JPN. Manakala laporan kedua diterima beberapa hari kemudian, selepas laporan awal pertama diterima.
Beliau menjelaskan laporan pertama dihantar kepada PPD dan JPN melalui aplikasi WhatsApp, manakala laporan kedua hanya disampaikan secara lisan.
Menjawab soalan Shahlan, Shaharoom berkata laporan pertama disediakan oleh seorang cikgu (Setiausaha HEM) atas arahannya untuk dimajukan kepada PPD dan JPN.
Beliau menjelaskan butiran masa dalam laporan itu diperoleh hasil perbincangan bersama Penolong Kanan HEM dan warden, ketika berada di hospital pada hari kejadian.
Shaharoom turut mengesahkan Cikgu Rahmatina adalah warden ‘on call’ pada malam kejadian dan berada di lokasi semasa menunggu ambulans.
Menurutnya, laporan pertama dihantar kepada PPD Papar pada 10.04 pagi, 16 Julai, namun beliau tidak dapat memastikan pegawai PPD yang menerimanya, manakala laporan kepada JPN dihantar kepada seorang Ustaz.
Berhubung laporan kedua, Shaharoom berkata beliau menerima laporan tersebut pada 12 Ogos daripada seorang Pegawai PPD.
Beliau menjelaskan laporan kedua itu diminta sebagai dokumen simpanan peribadi (dokumentasi) memandangkan beliau telah menerima surat arahan untuk berpindah.
Shaharoom menegaskan bahawa kandungan laporan kedua telah diterangkan secara lisan kepada pihak PPD dan JPN semasa lawatan mereka ke sekolah pada 18 Julai, namun laporan bertulis tersebut tidak diserahkan secara fizikal kepada kedua-dua pihak.
Apabila ditekan oleh Shahlan, Shaharoom mengakui bahawa laporan kedua tidak pernah dihantar secara bertulis kepada PPD atau JPN, sebaliknya hanya dibentangkan secara lisan.
Shahlan: Jadi, soalan saya, laporan kedua ini pernah diserahkan kepada PPD dan JPN atau tidak?
Saksi: Ya, saya serahkan secara lisan kemudian baru ditaip, sebab itu saya minta pada 12 hari bulan yang sudah ditaip untuk dokumentasi saya.
Shahlan: Laporan bertulis ni, bila diserahkan kepada PPD atau JPN?
Saksi: Macam tu maksudnya…. laporan ini sudah ditaip tapi belum diserahkan sebab saya minta pada 12 hari bulan untuk dokumentasi saya, supaya saya tidak lupa untuk persediaan inkue atau apabila ditanya.
Shahlan: Berdasarkan jawapan Cikgu, pemahaman saya, laporan kedua ini tidak dihantar kepada PPD ataupun JPN?
Saksi: Saya menghantar, tetapi melalui pembentangan saja. Tetapi untuk bertaip ini, tidak dihantarlah.
Menjawab soalan lanjut, Shaharoom memaklumkan bahawa satu mesyuarat penyelarasan kronologi kejadian telah diadakan pada 17 Julai, bertempat di bilik mesyuarat sekolah.
Mesyuarat itu dihadiri oleh pihak pentadbir, unit disiplin serta warden, termasuk guru disiplin.



