KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah menyuarakan kekecewaan terhadap isu jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang kini seolah-olah tiada berpenghujung.
Beliau berkata, projek itu diumpamakan sebagai satu kisah penantian yang tidak siap selain tersangkut-sangkut serta lencongan pelbagai arah.
Selain itu, beliau turut mengumpamakan projek yang masih berlubang dan ditampal itu seperti luka lama yang hanya disapukan bedak, bukan dirawat hingga sembuh.
“Ada pakej yang telah dianugerahkan tetapi belum bergerak, ada yang telah bermula tetapi belum berakhir, dan lebih menyedihkan, ada pula pakej yang belum beraward, seolah-olah masa di Sabah berjalan lebih perlahan daripada pusingan jarum jam di tempat lain.
“Bandingkanlah, dengan Sarawak, jiran kami yang bermula pada tahun yang sama, kini jalannya lurus-lurus dan mulus-mulus, dari Teluk Melano hingga ke Lawas, menjadi kebanggaan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Justeru, beliau meminta penjelasan khususnya mengenai status terkini di kawasan beliau melibatkan jajaran Sipitang-Beaufort, WP01 Sindumin-Melalia dan WP02 Melalia-Beaufort, yang menjadi laluan utama kehidupan harian rakyat di kawasan berkenaan.
“Isu ini telah saya bangkitkan saban tahun di Dewan Yang Mulia ini. Orang kampung saya bilang, ‘sudah berbuih-buih kitani bekurapak sampaikan belagu di Parlimen, tapi macam inda jua kedengaran,” katanya.
Sementara itu, Matbali berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, menghargai usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan Sabah.
Katanya, kerjasama erat ini penting agar agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara seimbang dan inklusif.
“Walaupun dipisahkan oleh Laut China Selatan, Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia dan wajar menerima perhatian pembangunan yang setara.
“Pada hakikatnya, rakyat Sabah hanya menginginkan kehidupan yang selesa, bermaruah dan terjamin. Oleh itu, apabila hak Sabah dibincangkan dalam kerangka Kerajaan MADANI, ia bukan soal meminta keistimewaan, tetapi menuntut keadilan berdasarkan persetujuan yang telah dimeterai sejak penubuhan Persekutuan Malaysia.
“Rakyat Sabah tidak menuntut perkara berlebihan, sebaliknya berharap agar hak asas yang telah dijanjikan dapat dilaksanakan dengan konsisten dan berkesan, bermula daripada penyelesaian masalah harian,” katanya.
Dalam pada itu, Matbali berkata, jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung masih jelas dirasai walaupun negara telah lama merdeka.
Katanya, kekurangan dalam kemudahan asas dan infrastruktur terus memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Justeru, iltizam politik yang kukuh amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat Sabah dapat dipertingkatkan secara berterusan,” katanya. – SABAH MEDIA



